Allah SWT berfirman yang membawa maksud : Katakanlah(Muhammad). “Jelajahilah muka bumi ini, kemudian perhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan itu (sebagai pengajaran kepada kamu)” (Al-an’am 6:11). Ayat ini menjelaskan bahawa umat islam digalakkan untuk bermusafir atau mengembara dengan satu niat iaitu menambahkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT, di samping mengambil iktibar dari pengalaman pengembaraan itu.
Maka bermulalah perjalanan lawatan antarabangsa yang penuh debaran tetapi mengujakan. Seramai 26 orang pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) beserta pegawai pengiring pada 2 April lalu dari Kuala Lumpur menuju ke Tokyo, Jepun-bumi yang sangat asing bagi kami-dengan menaiki pesawat Philipine Airlines selama hampir tiga jam dan transit di Manila selama beberapa jam hanya sekadar untuk menunaikan solat jamak zohor dan asar sahaja. Di sini kami terpaksa mempraktikkan ilmu agama yang telah kami pelajari kerana negara transit kami iaitu Filipina bukan sebuah negara Islam. Akhirnya perjalanan diteruskan ke bumi Samurai, dan kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda tepat jam 12.30 pagi waktu tempatan Jepun.
Kami terpaksa bermalam di lapangan terbang kerana perkhidmatan pengangkutan awam pada hari tersebut telah berhenti pada jam 11 malam dan perkhidmatan pengangkutan awam akan dimulakan seawal jam 5 pagi esok. Pengalaman pertama yang menakjubkan kami adalah di situ terdapatnya kemudahan surau atau tempat solat yang disediakan untuk penumpang yang beragama Islam. Tandasnya pula amat bersih sehingga kami sendiri risau ingin menggunakannya. Ini kerana terlalu banyak butang aplikasi yang ada di dalam tandas sehinggakan kami keliru untuk menekan butang yang mana satu untuk bersuci dan sebagainya. Betapa telitinya orang Jepun! Pada jam 5.30 pagi kami menuju ke Hotel Akihabara 3000 dengan menaiki tren pengangkutan dan seterusnya kami meneruskan perjalanan kami ke Ueno Park, Asakusa dan bandaraya Tokyo untuk melihat keindahan ciptaan Allah terutama bunga sakura. Ketepatan masa tren itu amat menakjubkan kami, walaupun ia bergerak dengan pemandu dan bukan secara automatik sepenuhnya. Benarlah kata orang, bahawa orang Jepun amat menitik beratkan ketepatan masa.
Keesokan harinya kami meneruskan agenda lawatan antarabangsa kami dengan mengadakan kunjungan hormat ke Universiti Teikyo di Tokyo bagi menjalankan program yang telah dipersetujui. Di universiti tersebut kami mengadakan aktiviti pertukaran budaya dan memperkenalkan budaya Malaysia kepada para pelajar Jepun. Mereka sangat teruja melihat kebudayaan Malaysia seperti pakaian tradisional, makanan tradisional, permainan rakyat dan tarian rakyat yang dipersembahkan kepada mereka. Ada dalam kalangan mereka yang tidak melepaskan peluang untuk mencuba kepelbagaian bentuk budaya itu kerana mereka menganggap ia sangat unik berbanding dengan budaya mereka. Kami juga mengadakan permainan kuiz tentang budaya Malaysia menyebabkan ramai dalam kalangan mereka begitu gembira dengan aktiviti para pelajar USIM. Apa yang menarik ialah wakil pentadbir Universiti Teikyo, Ino Yusaku, 29, amat menitik beratkan program ini dan sentiasa berada bersama kami dari awal hingga akhir, sangat menepati masa dan mengikuti semua tentatif yang dirancangkan dengan teliti. Sehinggakan waktu solat kami pun amat dititikberatkan. Apatahlagi makan tengahari yang diletakkan dalam bekas makanan yang dipanggil ‘Bento’ dalam bahasa Jepun juga mempunyai sijil halal dari Pertubuhan Halal Jepun (JHA) di atas setiap hidangan. Mereka sangat teliti dalam memastikan tetamu berasa selesa dan tidak was-was dengan makanan yang disediakan.
Pada hari berikutnya kami mengadakan lawatan rasmi ke Arabic Islamic Institute di Tokyo yang terletak di daerah Azabu-Juban. Institut ini ialah cawangan Universiti Imam Muhammad bin As-saud yang berpengkalan di Riyadh, Arab Saudi. Institut ini ditubuhkan sejak akhir tahun 1990-an bertujuan untuk mengadakan program yang khusus untuk mempelajari bahasa Arab komunikasi secara berperingkat dari asas hingga ke peringkat yang lebih tinggi. Di institut ini mereka sangat menitikberatkan ketepatan masa juga. Para pensyarah di sini terdiri daripada mereka yang berpendidikan doktor falsafah dalam bidang bahasa Arab. Mereka berasal dari pelbagai negara Arab seperti Mesir, Arab Saudi dan Sudan. Ada juga yang berasal dari India dan Jepun sendiri. Pengurusnya Nayef Suzuki, 39, sangat fasih berkomunikasi dalam bahasa Arab walaupun hanya enam bulan sahaja belajar di institut itu. Menurut beliau, untuk mahir berbahasa Arab kita perlu berfikir dalam bahasa yang ingin dipelajari, dan tidak terpengaruh dengan bahasa ibunda. Ini akan mempercepatkan proses menguasai bahasa asing. Di sini terdapat juga pengurus pentadbiran yang berasal dari Indonesia. Mereka sangat teliti dalam pekerjaan contohnya kebersihan tandas dan amat berdisiplin.
Pada hari terakhir, kami menjalankan tugasan rasmi yang ketiga iaitu program bertemu masyarakat Muslim di Masjid As-salam, Tokyo. Di sini kami amat betuah kerana berkesempatan bertemu dengan pendakwah terkenal Malaysia iaitu Syeikh Hussein Yee dan mendengar tazkirah beliau tentang keindahan bahasa Al-Quran serta kaedah yang berkesan untuk berdakwah kepada golongan bukan Islam. Beliau merupakan pengasas kepada Yayasan As-salam yang beribu pejabat di Tokyo. Kami juga berkesempatan memberi sedikit sumbangan dalam bentuk makanan dan bantuan kewangan untuk mengimarahkan Masjid As-salam. Pada malam hari pula kami meneruskan perjalanan kami ke Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda untuk pulang ke tanah air tercinta dan kami berlepas pada jam 1.15 pagi 8 April yang lalu. Maka berakhirlah kembara penuh bermakna kami di bumi sakura ini meninggalkan kenangan terindah yang takkan dilupakan sepanjang hayat.
Disediakan :
Dr. Azlan Shaiful Baharum
Wan Nurul Hanaa’ Wan Mohd Akbal
Program Sarjana Muda Bahasa Arab Dan Komunikasi
Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU)
Universiti Sains Islam Malaysia