NILAI – Klinik Unit Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama urus setia Perlindungan Perubatan Pelajar (U3P) USIM telah menganjurkan Kempen Pendermaan Organ  2013 pada 2 Oktober 2013 bertempat di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS).

Isu pendermaan organ merupakan isu baru dalam masyarakat, tetapi kita telah mula menerimanya secara positif. Ia dapat dibuktikan dengan pertambahan jumlah pengikrar yang ingin menjadi penderma bertambah dari setahun ke setahun. Pendermaan organ merupakan satu proses mendermakan beberapa organ seseorang untuk tujuan pemindahan organ (transplantasi) selepas kematian otak dalam kata erti lain meninggal dunia. Ia juga merupakan salah satu ikhtiar untuk merawat pesakit-pesakit yang menghidap masalah kegagalan organ peringkat akhir.

Oleh itu, Kempen ini diadakan untuk memberi pencerahan yang mendalam kepada pelajar tentang apa itu pendermaan organ.  Tambahan pula, kempen yang mendapat kerjasama erat dari Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan ini merupakan salah satu program dibawah Program Transformasi Mahasiswa USIM yang dirangka oleh pihak Unit Hal Ehwal Pelajar USIM. Turut dijemput adalah penceramah hebat dari Hospital Kuala Pilah, Dr. Saiful Aizar Bin Kesut yang merupakan Pakar Anestesiologi. Turut dijemput En Rulyzam Rahmat bekas pesakit buah pinggang yang menerima organ untuk berkongsi serba sedikit pengalaman beliau ketika saat menunggu pemindahan organ. Pameran daripada Hospital Kuala Pilah turut diadakan ketika kempen ini dijalankan. Kempen ini mendapat sambutan yang memberangsangkan dimana penyertaan 300 orang pelajar USIM dan 50 orang pelajar daripada Kolej Murni. Jumlah yang berjaya mendaftar sebagai pengikrar adalah seramai 95 orang.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk menarik lebih ramai golongan muda (remaja & belia) untuk tampil berdaftar sebagai pengikrar penderma organ. Selain itu, program ini memberi penghuraian yang jelas mengenai pendermaan organ dan juga organ-organ yang boleh di dermakan. Oleh itu, Dr. Saiful Aizar Bin Kesut dijemput khas oleh pihak U3P untuk  memberi pencerahan tentang pendermaan organ diantaranya organ dan tisu yang boleh didermakan di Malaysia. Pendermaan organ selepas meninggal dunia  juga di haruskan di dalam Islam. Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1970 mengharuskan pendermaan organ kadaverik tetapi mengharamkan aktiviti jual beli organ. Agama-agama lain di dunia (Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh) turut menyokong pendermaan organ selepas meninggal dunia. Oleh itu, jalan yang paling sesuai untuk mengurangkan aktiviti jual beli organ adalah dengan memeberi kesedaran kepada masyarakat mengenai pendermaan organ. Justeru  U3P mengambil langkah mengadakan Program Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2013 untuk memberi kesedaran tentang kepentingan pendermaan organ kepada pihak yang memerlukan.

Program yang berakhir dengan aktiviti senamrobik yang dibimbing oleh Khairul Rizal di Kompleks Sukan Tengku Najihah, USIM telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, YBhg. Prof. Dato’ Dr Asin Dollah dan turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran  Duta Pendermaan Organ iaitu Maskiran Jaskiran atau lebih dikenali sebagai Kieran Hotfm.

Disediakan oleh:

Klinik Unit Kesihatan USIM

Dikemaskini oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

Penolong Pegawai Media StraComm