KUALA LUMPUR, 4 Oktober 2019 – Program Kem Huffaz Remaja Pekak (KHP2019) memasuki kali keempat penganjurannya kekal menyediakan pelbagai aktiviti bagi mengupaya remaja dalam kalangan OKU Pekak mengenai hak menerima (Ahliyyah al-Wujub) serta melaksana (Ahliyyah al-Ada’) berasaskan kekuatan dan kelainan upaya pembelajaran.

Buat pertama kalinya KHP2019 melibatkan peranan institusi Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diadakan selama 3 hari bermula 4 hingga 6 Oktober didokong oleh Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), Institut Sains Islam dan Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLMJI), USIM adalah kerjasama dengan Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (Yayasan FAQEH).

”KHP2019 merupakan salah satu khidmat kesukarelawanan untuk komuniti OKU Pekak khususnya generasi muda dengan hasrat agar program ini dapat memberi pendedahan tentang al-Quran kepada mereka dengan meraikan dan mengupayakan kekuatan yang ada pada mereka. Kami berharap usaha kecil ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada para peserta khususnya sebagai peluang kepada mereka untuk sama-sama dekat dan mampu berinteraksi dengan kalamullah yang mulia,” ujar Dr. Siti Fatimah Binti Mohd Tawil, Penyelaras Sekretariat Sahabat FAQEH.

“Besar harapan pihak penganjur KHP2019 agar usaha ini mampu mengisi kelompangan dan merealisasi indahnya konsep hidup beragama dalam kalangan OKU Pekak,” ujarnya lagi

Tambahnya lagi, program unik ini mensasarkan keterlibatan dan keurusetiaan oleh mahasiswa dalam membuat persediaan menggalas tanggungjawab sebagai pendakwah dalam apa juga konteks kerjayanya kelak. Dalam pada masa yang sama, program ini turut menjadi wadah kesedaran ibu bapa, guru, masyarakat khususnya institusi-institusi agama menyokong dan memperbanyakkan aktiviti-aktiviti seumpama ini ke arah mengupayakan komuniti ini di samping memperbetulkan sudut pandang dan sikap masyarakat terhadap keperluan OKU beragama seterusnya menyediakan persekitaran mesra OKU agar halangan-halangan penyertaan OKU dalam aktiviti kemasyarakatan dapat dikurangkan dari semasa ke semasa.

Menerapkan aktiviti bagi melatih para peserta yang terdiri daripada remaja dalam kalangan OKU Pekak antaranya mengenal, menghafaz, membaca serta memahami penjelasan isi kandungan surah-surah pilihan dalam al-Quran. Selain itu, kem ini bertujuan untuk mengenal pasti kekuatan dan kelainan upaya belajar para peserta dalam berinteraksi bersama al-Quran melalui pendekatan visual, bercerita dan menulis potongan ayat daripada surah-surah pilihan.

KHP2019 turut mensasarkan pembangunan mahasiswa cakna OKU yang terlatih dan berkemahiran memenuhi keperluan komuniti OKU selaras dengan gagasan Rahmatan lil ’Alamin dan Maqasid Syariah dalam memberi ruang dan peluang OKU merealisasi konsep indahnya hidup beragama.

KHP2019 merupakan penganjuran Sekretariat Sahabat FAQEH USIM (SaF@USIM), Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah dan Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), Institut Sains Islam USIM dengan kerjasama Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (Yayasan FAQEH), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLMJI), Multi Revert Muslim (MRM) dan Yayasan Restu.

Disediakan oleh :
Zahirah Hafizah Zaharuddin
Setiausaha KHP2019
Sekretariat Sahabat FAQEH

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan