SEREMBAN, 12 Oktober 2017 – Majlis pelancaran Hari Penglihatan Sedunia atau World Sight Day Peringkat Kebangsaan 2017 telah diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi bertemakan Universal Eye Health: Make Vision Count. Hari Penglihatan Sedunia disambut di seluruh dunia pada hari Khamis minggu kedua di bulan Oktober setiap tahun.

Majlis disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Azman Haji Abu Bakar, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia bersama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan, Dr. Zainuddin Mohd Ali.

Objektif sambutan ini diadakan adalah bagi mewujudkan kesedaran kepada masyarakat tentang isu-isu penting berkaitan kesihatan mata, mengadakan pemeriksaan saringan penglihatan secara percuma kepada orang awam, bekerjasama dalam mencegah risiko kebutaan lebih awal di kalangan masayarakat dan memberi pengetahuan kepada orang awam serta memperkenalkan perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Oftalmologi kepada masyarakat.

“Negeri Sembilan merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai Klinik Pakar Mata Bergerak atau Klip Mobile yang dilancarkan oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan pada 18 November 2015. Pakar mata dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan membuat lawatan keluar bandar menggunakan Klinik Pakar Mata Bergerak yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri Sembilan untuk membuat saringan masalah penglihatan terutamanya di kalangan warga emas,” ucap YBrs. Dr. Zainuddin Mohd Ali, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan dalam ucapan di Majlis Pelancaran Hari Penglihatan Sedunia peringkat Kebangsaan 2017.

Beliau turut berkongsi seramai 1449 orang pesakit telah mendapat manfaat klinik bergerak ini sepanjang 21 siri jelajah yang diadakan di semua daerah di Negeri Sembilan meliputi Kuala Pilah, Jempol, Tampin, Jelebu, Seremban, Port Dickson, Rembau dan Tampin.

Manakala YB Dato’ Haji Azman Haji Abu Bakar berkata Laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia WHO pada 2010 menganggarkan terdapat sebanyak 250 juta orang seluruh dunia mempunyai masalah penglihatan dan buta. Di Malaysia juga 413,000 penduduk juga mengalami masalah pegnlihatan. Daripada 113,000 orang yang menjadi buta, 43,000 orang daripadanya dikenal pasti berpunca katarak.

“Tabiat mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara berkala hendaklah menjadi amalan di kalangan masyarakat. Di samping memperkasakan masyarakat dengan pengetahuan dan kemahiran tentang amaln hidup sihat untuk mencegah penyakit kronik seperti penyakit diabetes, darah tinggi dan jantung,” ucapnya.

Turut diadakan selepas majlis ini adalah pemeriksaan mata percuma, saringan kesihatan dan pameran poster serta tayangan video mengenai kesihatan.

Disediakan oleh :
Amizul Aziz
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Bangunan Canselori
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204