PANDAN INDAH – Menawarkan pelbagai rawatan pergigian dengan kadar bayaran yang berpatutan menjadi faktor penarik kepada masyarakat sekitar yang ingin mendapatkan rawatan di Klinik Fakulti Pergigian USIM yang beroperasi di Tingkat 16 dan 17, Menara MPAJ. Klinik ini dilengkapi dengan peralatan rawatan semasa dan berteknologi tinggi yang dapat digunakan untuk prosedur diagnostik, makmal dan rawatan pergigian setanding klinik pergigian kerajaan dan swasta.

Klinik ini telah mula beropreasi pada tahun 2009 selari dengan perkembangan Fakulti Pergigian USIM yang ditubuhkan pada 2007 dengan kemasukan pelajar kumpulan pertama seramai 30 orang. Sehubungan itu, baru-baru ini telah diadakan Majlis Pelancaran Klinik Fakulti Pergigian USIM yang disempurnakan oleh YBhg. Datuk Ab. Rahim Md. Noor, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Dalam ucapan perasmian, beliau menekankan “Penubuhan klinik ini adalah pencapaian yang membanggakan kepada USIM dan KPT kerana melaluinya ia dapat mencapai hasrat murni KPT untuk membina sebuah institusi pendidikan terbilang dan melahirkan kepimpinan yang cemerlang” . Tambahnya lagi sesuatu tamadun itu berdiri dan membangun bermula dari ilmu, inovasi dan kreativiti masyarakatnya.

Kewujudan klinik amat tepat sekali bagi memberi pendedahan kepada para pelajar Tahun 3, 4 dan 5 memberi rawatan pergigian kepada orang awam di bawah selian dan pemantauan rapi para pensyarah klinikal disamping menyediakan ruang kondusif untuk pensyarah mengamalkan kepakaran yang mereka miliki.

Beberapa kemudahan rawatan kepakaran pergigian juga turut disediakan di klinik ini antaranya kepakaran bedah mulut dan maksilofasial, ortodontik, periodontik, pergigian kanak-kanak dan pergigian restorative.

Majlis pelancaran yang amat bermakna kepada warga Fakulti Pergigian ini turut dihadiri YBhg. Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda, Naib Canselor USIM, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Wan Mohamad Nasir Wan Othman, Dekan Fakulti Pergigian, Ahli Pengurusan Universiti serta wakil dari Kementerian Kesihatan Malaysia.

Naib Canselor dalam ulasannya melahirkan rasa gembira dengan kepercayaan masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan di sini kerana peningkatan ketara pertambahan pelanggan saban tahun, malah pada tahun 2011 sebanyak 6234 pelanggan direkodkan mendapatkan perkhidmatan di sini.

“Ini juga adalah kegembiraan berganda buat USIM sebenarnya kerana kumpulan pertama pelajar Fakulti Pergigian akan bergraduasi pada tahun ini dan Fakulti juga telah memperolehi akreditasi penuh untuk tempoh 3 tahun daripada badan profesional.” Universiti mempunyai perancangan untuk membuka klinik pergigian kedua di Bandar Baru Nilai pada masa hadapan dan gerak kerja ke arah itu sudah mula digerakkan.

Oleh:
Mohd Zaini Othman
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa