NILAI, 18 NOV 2015 – Usaha dan kerjasama di antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan dalam menyediakan perkhidmatan klinik pakar bergerak bagi rawatan mata atau dikenali sebagai Klip Mobile kepada masyarakat Negeri Sembilan wajar di hargai.

Di majlis pelancaran klinik pakar bergerak mata bertempat di Batu 13 Labu Hilir, Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan yang merasmikan ketika ditemui menyatakan rasa berbesar hati melancarkan kemudahan baharu ini yang amat berguna untuk membantu rakyat luar bandar mendapatkan rawatan mata dengan kos yang mampu dibayar.

Menerusi kemudahan ini masyarakat luar bandar khususnya berpeluang mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan mata oleh doktor pakar yang turut sama bertugas melawat kawasan-kawasan luar bandar ke seluruh daerah di Negeri Sembilan untuk memberikan rawatan. Dengan bayaran hanya RM 5, pesakit akan menerima rawatan dan khidmat nasihat termasuklah rawatan susulan ke hospital sekiranya diperlukan.

“Perkhidmatan ini merupakan satu usaha murni bagi merakyatkan perkhidmatan kesihatan yang mana turut meningkatkan kesejahteraan masyarakat. Antara penyakit yang kebiasaannya dihidapi seperti katarak, glaucoma, penyakit degnerasi macula, diabetic retinopati dan selaput di hadapan mata oleh warga emas mudah dirujuk dengan doktor pakar di sini. Diharapkan supaya masyarakat dapat memanfaatkan kemudahan yang disediakan,” ulas Dato’ Mohamad Hasan.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Abdul Rahim Abdullah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Adun Labu, Datuk Hasim Rusdi dan Timbalan Naib Canselor USIM, YBhg Prof Dato Dr Mohd Hanefah dan Prof. Dr. Muhammad Tauffik Mohd Noor, Timbalan Pengarah Pusat Pakar Kesihatan USIM.

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204