AMPANGAN, 21 JAN 2016 – Klinik pakar bergerak atau Klip Mobile menawarkan perkhidmatan sulungnya kepada masyarakat setempat sempena program pemeriksaan kesihatan usahasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri setelah Klip Mobile berjaya dilancarkan tahun lepas.

Program selama satu hari bertempat di Perumahan Rakyat Panchor Ampangan, Negeri Sembilan menyediakan rawatan secara percuma kepada penduduk setempat. Seramai 27 orang pesakit yang mana majoritinya adalah warga emas telah dikenalpasti di peringkat awal melalui proses screening oleh Klinik Pakar USIMdi klinik-klinik berdekatan untuk di rujuk kepada pakar Klip Mobile pada hari yang sama.

“Klinik pakar bergerak ini menyediakan rawatan kepada masalah-masalah mata yang biasa ditemui antaranya masalah katarak, masalah selaput yang memerlukan pesakit sentiasa dipantau dan mendapat rawatan susulan,” ujar Prof Tauffik.

“Apa yang diharapkan adalah klip mobile ini mampu memberi kemudahan kepada pesakit di mana mereka tidak perlu mengambil masa yang lama seperti berurusan dengan pihak hospital di samping memudahkan mendapat rawatan dengan pakar-pakar USIM,” tambahnya.

Tenaga pakar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) yang bertugas pada hari tersebut adalah Dr Azlina Mokhtar dan Dr Norlelawati Zainol selain pegawai teknikal, jururawat terlatih dan juru teknologi makmal USIM.

Sementara itu, turut dijalankan pemeriksaan kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan yang menerima lebih dari 50 orang pesakit luar untuk mendapatkan pemeriksaan antaranya pemeriksaan berat badan, ujian darah, ujian mata dan mendapatkan khidmat konsultasi daripada pegawai perubatan.

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204