NILAI, 5 APRIL 2016 – Perasmian Kompleks PERMATA Insan yang berkonsepkan ‘Sekolah Dalam Kampus’ telah disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia bertempat di Kolej Permata Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Kolej PERMATA Insan ini dibina di atas tanas seluas 12 ekar dengan kos sekitar RM 68 juta oleh Jabatan Perdana Menteri. Terletak bersebelahan tasik utama universiti, kompleks ini lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti asama, blok akademik, blok informasi digital, dewan makan, dewan serbaguna dan bangunan mercu tandanya iaitu Pusat Al-Abrar.

Perdana Menteri dalam ucapannya berkata, keseimbangan pendidikan duniawi dan ukhrawi adalah langkah penting dalam melahirkan generasi baru yang berilmu pengetahuan dan agama tinggi untuk membangunkan negara.

“Kita mesti menyediakan generasi yang seimbang ilmu Naqli dan Aqli. Dalam Islam juga tidak membezakan kedua-dua ilmu dan sekiranya kita mengasingkan satu daripadanya, makan tempanglah,” katanya dalam ucapan perasmian.

Seramai 113 penuntut diterima masuk ke Kolej PERMATA Insan sejak tahun lalu dilihat mampu melahirkan ahli ilmu dan pemikir yang hebat. Ia sangat  bertepatan dengan keperluan negara dan dunia hari ini dalam melahirkan pemikir-pemikir serta Cendekiawan Islam ulung seperti Al-Khawarizmi Jr., Ibnu Sina Jr., Ibnu Rusyd Jr. yang telah memberi manfaat kepada seluruh dunia dengan ilmu dan kepakaran mereka.

“Saya melihat Kolej PERMATA Insan ini jelas mendepani Pelan Pembangunan Malaysia 2013-2015 kerana mengintegrasikan kurikulum kebangsaan berfokuskan aspek STEM dengan al-Quran dan Sunnah,” tambahnya.

Menurut Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor, USIM kini dalam usaha merancang penawaran program fast track kepada pelajar Kolej PERMATA Insan untuk menamatkan pengajian PhD seawal umur 22 tahun. Ia mengambil kira keupayaan mental dan pencapaian akademik yang amat cemerlang dalam kalangan sebilangan pelajar pintar cerdas Kolej PERMATA Insan.

“Mereka yang terpilih pasti mendapat faedah daripada program fast-track ini kerana kami yakin kelak mereka akan mampu menjadikan bidang kajian mereka sebagai satu wadah untuk menghasilkan penemuan terbaharu dalam bidang Science, Technology, Engineering dan Mathematics yang berintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli (STEM Naqli-Aqli),” ucapnya.

Turut hadir adalah Penaung Program Permata, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Hj Mohamad Hj Hassan dan isteri.

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204