NILAI – Pusat PERMATA Insan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bakal menerima kumpulan sulung seramai 50 orang pelajar berusia 13 tahunyang akan mengikuti pengajian peringkat menengah Asas 1 (Tingkatan 1) di Kolej PERMATA Insan USIM. Kumpulan pertama ini yang terdiri daripada 30 pelajar lelaki dan 20 pelajar perempuan merupakan pelajar terpilih dari seluruh negara akan mendaftar pada 17 Januari (Sabtu) ini.

Kumpulan sulung ini kemudiannya akan mengikuti program orientasi khas yang telah disediakan oleh Pusat PERMATA Insan selama empat hari bermula 17 hingga 20 Januari 2015. Sebahagian besar pelajar ini merupakan pelajar yang telah mengikuti Program PERMATA Insan yang dilancarkan secara rasminya oleh YABhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, isteri YAB Perdana Menteri Malaysia selaku Penaung Program PERMATA pada 12 Mac 2010 di USIM.

Program PERMATA Insan yang diamanahkan kepada USIM untuk dilaksanakannya merupakan kesinambungan dan perluasan daripada Program PERMATA yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Perdana Menteri seperti PERMATA Negara, PERMATA pintar dan PERMATA Seni. Program ini merupakan strategi menjana cendekiawan Islam dari bakat anak-anak kecil pintar dari seluruh Malaysia seawal usia 8 tahun. Kanak-kanak yang terpilih seterusnya akan mengikuti kurikulum khas Permata Insan yang mengandungi empat (4) komponen penting iaitu Modul Pintar al-Quran dan al-Sunnah, Modul Bahasa Arab, Modul Bahasa Inggeris dan Modul Pembangunan Insaniah sehingga berusia 12 tahun.

Program PERMATA Insan dirancang bagi memartabatkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan dan amalan kehidupan seharian serta merupakan satu usaha yang khusus untuk melahirkan Muslim Nobel Laureates danFuture Leaders yang berpersonaliti Al-Abrar (Noble) dalam bidang sains dan teknologi serta mampu mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli.

Pembangunan Kompleks Kolej PERMATA Insan di atas tanah seluas 12 ekar berdekatan bangunan Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) USIM dan menghadap tasik ini berkonsepkan sekolah dalam kampus, menawarkan pendidikan kepada pelajar pintar Islam dan berbakat dari Asas (Tingkatan) 1 hingga 5. Pembinaan fasa satunya menempatkan blok pentadbiran, blok pengajaran dan pembelajaran (P&P) dan kemudahan asrama serta dewan makan dengan kos RM 21 juta telah selesai dan bersedia untuk digunakan oleh kumpulan pertama ini.

Pembinaannya di dalam kampus USIM membolehkan para pelajar berinteraksi dan mempercepatkan proses kematangan dan pembelajaran dalam usaha melahirkan para saintis, teknokrat, penyelidik, cendekiawan dan profesional Islam yang boleh dibanggakan. Penyediaan prasarana yang sesuai menjadi keutamaan bagi membolehkan mereka mendapat pembelajaran yang lebih terkehadapan (advanced) serta mencabar dan menepati aras kesukaran yang sesuai dengan kemampuan mental mereka. Melaluinya, para pelajar dapat mengembangkan potensi minda dan bakat dalam suasana pembelajaran dan penyelidikan yang kondusif.

Disediakan oleh :

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, CanseloriUniversitiSains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/8028 Faks : 06-798 8204