NILAI – Memetik kata-kata Imam Al-Qardawi: “ Jika ingin melihat bagaimana pemimpin pada masa hadapan, maka lihatlah perangai, tingkah laku serta sikap belia pada masa kini”. Itulah kata-kata hikmah yang telah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berbahagia Senator  Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Baharom (B) pada Majlis Pemimpin Bersama Pelajar sempena Hari Taaruf Pelajar Tamhidi yang telah berlangsung  di stadium tertutup nilai baru-baru ini.

Menurut beliau, hal ini perlu bagi memastikan kesinambungan yang telah digarap oleh pemimpin terdahulu dalam menuju wawasan 2020 seperti yang telah di uar-uarkan oleh Yang Amat Berbahagia  Tun Dr. Mahathir Mohamad suatu ketika dahulu. Misi mencapai negara maju perlukan semangat wasatiyyah bagi memastikan keseimbangan neraca kehidupan di dunia dan akhirat.

Tegasnya juga, remaja pada masa kini harus menekankan konsep kesederhanaan dalam kehidupan seperti mana yang telah ditekankan dalam Agama Islam. Hal ini penting bagi melahirkan modal insan yang berkualiti untuk membangunkan ekonomi negara. Tambah beliau lagi, bagi mencapai kejayaan, para pelajar khususnya harus berusaha untuk mendaki tangga kejayaan dengan penuh ketertiban serta memohon keberkatan daripada Allah S.W.T.

Hadir sama Naib Canselor  USIM, Yang Berbahagia Professor Dato’ Dr. Muhamad Muda serta Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Yang Berbahagia  Profesor  Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah dan para pensyarah serta pegawai  USIM.

Dalam pada itu penyelaras program, Puan Azlin Mahmud berkata rasional jemputan YB. Senator Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Baharom (B) pada majlis tersebut adalah kerana beliau merupakan Menteri Mentor kepada USIM dan juga kerana beliau yang berlatar belakangkan pendidikan agama yang kukuh dan berjaya membuktikan kejayaan seperti hari ini. Sejajar dengan objektif majlis, pelajar juga diharap dapat mengenali pemimpin mereka dengan lebih dekat kerana mereka juga akan menjadi seorang pemimpin pada suatu hari nanti.

Majlis penutup pada malam itu diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada YB.Dato’ Seri serta diserikan dengan persembahan Qasidah dari Urusetia Kesenian Pelajar Unit Kebudayaan BHEP USIM dengan dua buah lagu yang berjudul ‘assalamualaik’ dan ‘bushrah lana’.

Oleh :

EB Yani Abu Hassan dan EB Siti Fatimah Sabri.