NILAI, 26 SEPTEMBER 2013 – Bertempat di perkarangan Stadium Tertutup Nilai telah berlangsung dengan meriahnya Konvensyen Keusahawanan Islam Kesembilan 2013 (iCEPS9 2013). Program yang berlangsung selama empat hari bermula 26 September 2013 dan berakhir pada 29 September 2013 ini adalah anjuran Pelajar Tahun Empat Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Tema pada kali ini adalah ‘Keusahawanan Islam Peneraju Ekonomi Global’.

Pelepasan konvoi berbasikal membuka tirai iCEPS yang disertai lebih kurang 20 pelajar yang membawa sepanduk mengelilingi kawasan sekitar Kolej Kediaman, Manipal International University dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Secara keseluruhannya, objektif utama konvensyen ini adalah sebagai satu wadah bagi mengenengahkan bidang dan bakat keusahawanan dalam kalangan pelajar IPTA serta masyarakat Islam. Disamping itu, ia berperanan memberikan pengetahuan bagi mewujudkan serta melahirkan usahawan cemerlang berpaksikan syariah Islam di Malaysia khususnya bagi merealisasikan agenda kerajaan dalam meningkatkan kepakaran mahasiswa/i supaya melibatkan diri secara langsung dalam program keusahawanan dan seterusnya membina jaringan perniagaan bagi menembusi peringkat yang lebih tinggi.

Terdapat 68 gerai dibuka yang melibatkan pelajar USIM dan peniaga luar disamping dihidang dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya Forum Konflik Mesir yang disampaikan oleh Ustaz Haris Bain dan Prof Kamaruzaman, Konsert Simfoni Akustik Gaza & Syria yang dihiburkan dengan artis jemputan iaitu Najwa Latif, Sham Kamikaze, UKAYS dan One Soulz dan The Bachelors. Selain itu, program Malam Cinta Rasul (MCR) bagi menghayati dan mengingati Rasulullah S.A.W melalui selawat dan qhasidah yang dipimpin oleh tetamu jemputan yang tidak asing lagi iaitu Habib Syeikh As-Seggaf. Dianggarkan Program MCR telah berjaya menarik lebih kurang 15,000 pengunjung sekitar Negeri Sembilan yang hadir pada malam itu.

Menurut YBhg. Prof Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM yang mewakili Naib Canselor USIM YBhg. Dato’ Dr Asma Ismail dalam ucapannya berkata “Selaras dengan Visi USIM iaitu Mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli untuk mentransformasi dan menghasilkan nilai kepada Negara, Ummah dan Manusia Sejagat, iCEPS9 dilihat mampu membawa para pelajar melangkah lebih jauh dan keluar dari zon selesa yang bukan hanya terikat dengan buku semata-mata, tetapi anda belajar cara untuk berinteraksi dengan masyarakat dan sebagainya”. “Kejayaan ini bukanlah diukur dengan berapa banyak keuntungan yang anda perolehi, tetapi pengalaman sebagai Pengurus Acara (Event Manager) yang dapat mengasah sikap matang anda dalam menangani sebarang isu, selain memupuk sifat kerjasama mejayakan program dan juga membina kemahiran para pelajar khususnya dalam bidang pengurusan,” tambah beliau lagi.

Majlis Perasmian penutup Konvensyen Keusahawanan Islam Kesembilan 2013 (iCEPS9) telah dilancarkan dengan penampilan saudara Muhammad Hafiz Zulkhairi, menunggang kuda sambil membawa keratan logo iCEPS9 kepada YBhg. Prof Tan Sri Dato’ Dr Abdul Shukor Hj Husin, Pengerusi Lembaga Pengarah USIM seterusnya bagi merasmikan acara penutup iCEPS9 2013. Turut hadir sama adalah YBhg. Prof Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM, dan Dr Asmaddy Haris Dekan Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus (Media StraComm)

Dikemaskini oleh:

Syazlyna Jamil

Penolong Pendaftar StraComm