PUTRAJAYA – Satu majlis penghargaan kepada para penyelidik IPT yang menghasilkan penciptaan baharu telah diraikan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam Malam CITRA Inovasi yang diadakan di Hotel Marriot, Putrajaya. Penganjuran majlis ini juga telah menonjolkan penciptaan inovasi yang berjaya dikomersialkan dan yang berpotensi untuk dikomersialkan serta telah memenangi anugerah di peringkat antarabangsa dan kebangsaan bagi tahun 2011 dan 2012.

Selari dengan agenda pelaksanaan Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif Peringkat Tertiari (PTPMIIPT) dalam menyemarak dan membudayakan inovasi di kalangan masyarakat amnya dan IPT khususnya, sebanyak 94 penciptaan daripada 387 keseluruhan penciptaan daripada IPTA, IPTS, Politeknik dan Kolej Komuniti diberikan penghargaan oleh KPT.

YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi melalui teks ucapan beliau yang dibacakan oleh YBhg. Datuk Ab. Rahim Md Noor, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi menyatakan bahawa “Dalam perlumbaan sengit dunia tanpa sempadan di mana kemampuan berdaya saing menjadi penanda aras baharu carta kompetitif global, kemampuan merekacipta dan menampilkan mindset breakthrough menjadi pedoman dalam perlumbaan inovasi”

Menurutnya lagi “Peranan IPT cukup kritikal bukan sahaja sebagai pemacu kegemilangan tradisi ilmu tetapi juga mewujudkan ekosistem intelektual yang kondusif. Dalam konteks ini, penggemblengan usaha padu ke arah penerokaan dan penjanaan kreativiti dalam melahirkan inovasi dan penciptan nilai tambah amat diperlukan”

Pada majlis ini, YBhg. Prof. Dato’ Asma Ismail, Naib Canselor USIM bersama penyelidik USIM menerima sijil penghargaan daripada KPT bagi tiga (3) penyelidikan yang telah dihasilkan iaitu Linguistik Bahasa Arab dengan Kaedah Muthla Takamuliah, DLIVE : Alatan Penyiasatan Forensik Digital dan Tekanan Keluarga E-Sohffanz. Pengiktirafan dari KPT ini mencerminkan ahli akademik USIM mempunyai daya saing dan kualiti yang tinggi untuk menghasilkan inovasi berimpak tinggi.

KPT juga turut melancarkan Buku Inovasi di Persada Institusi Pengajian Malaysia 2011/2012 yang mendokumentasikan 387 produk yang terdiri daripada  11 kluster meliputi pelbagai cabang ilmu. Majlis CITRA Inovasi ini juga secara tidak langsung mengiktiraf keseniaan Islam yang dibawa oleh USIM apabila Kumpulan Nasyid Intracksee dan Kumpulan Qasidah Bushro Lana diberi kepercayaan mengadakan persembahan pembukaan dalam majlis ini.

SENARAI NAMA PENYELIDIK DAN TAJUK PENCIPTAAN

1.    Linguistik Bahasa Arab dengan Kaedah Muthla Takamuliah

Prof. Madya Dr. Asma Abdul Rahman
Dr. Nurdiana Azizan

2.    DLIVE : Alatan Penyiasatan Forensik Digital

Prof. Madya Dr. Norita Md Norwawi
Dr. Sundresan a/l Perumal

3.    Tekanan Keluarga E-Sohffanz

Prof. Madya Datin Dr. Sapora Sipon
Dr. Othman Abdul Rahman
Cik Nurul Hidayah Mat Sarip
Cik Fariz Sakina Abdullah
En. Muhd Zarif Muhammad

Disediakan oleh :

Mohd Zaini Othman
Penolong Pendaftar
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)