Bandar Baru Nilai, 23 Februari 2010 – Seramai 39 peserta telah menyertai Kursus Sijil Pengurusan Haji Petugas Pengelola Jemaah Haji (PJH) Modul 2 anjuran bersama Lembaga Tabung Haji dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Kursus ini telah diadakan selama seminggu bermula 17 hingga 23 Februari 2010. Ianya merupakan kesinambungan kursus modul 1 yang telah diadakan pada bulan ogos tahun lepas.

Sebanyak 22 agensi yang mengelolakan jemaah haji menyertai kursus ini. Antaranya Alif Travel & Tours Sdn Bhd, FELDA Travel Sdn Bhd, Syarikat Pelancongan Yaskin Sdn Bhd, Ash Har Travel & Tours Sdn Bhd, Rayhar Travels Sdn Bhd dan Rahman Brothers Travel & Tours Sdn Bhd.

“Inisiatif Lembaga Tabung Haji berganding bahu bersama USIM dalam mengelolakan kursus ini sangat dihargai dan diharapkan usaha ini berterusan dalam memantapkan pengurusan  jemaah haji yang lebih baik pada masa akan datang”, ucap Y.Bhg. Prof. Dr. Baharom Sanugi, Dekan Penyelidikan dan Inovasi mewakili Naib Canselor USIM di Majlis Penyampaian Sijil dan Penutup Kursus Sijil Pengurusan Haji Petugas Pengelola Jemaah Haji di sini hari ini.

Beliau turut menambah, walaupun dengan bajet yang terhad, Lembaga Tabung Haji tetap komited dalam membangunkan modal insan dengan menggunakan segala kemudahan yang disediakan tanpa perlu membazir.

Objektif program ini adalah untuk menjelaskan dasar pengendalian jemaah haji secara TH-Swasta di samping meningkatkan kefahaman petugas berkenaan pengurusan haji di tanah air dan tanah suci yang berkaitan dengan Pengelola Jemaah Haji. Kursus ini juga memberi kefahaman tentang kepentingan dan peranan khidmat pelanggan dalam menyumbang ke arah kejayaan dan meningkatkan keyakinan diri petugas untuk menjalankan tugas di tanah suci.

Antara modul yang ditekankan sepanjang kursus berlangsung adalah Sistem Nilai Etika Kerja Islam, Komunikasi Berkesan, Pengurusan Hospitaliti, Perhubungan Strategik, Pengurusan Sistem Maklumat dan Pengurusan Kesihatan Jemaah Haji.

Menurut Tuan Haji Mohd Salleh bin Abd Mubin, Pengurus Besar Kanan (Haji), Lembaga Tabung Haji, program sebegini dapat memberi pendedahan yang berguna dalam meluaskan pengalaman dan kefahaman tentang pelaksanaan ibadah di tamah suci.

“Dengan adanya program sebegini dapat melengkapkan persediaan jemaah haji untuk menunaikan seruan Allah dengan mendapat perkhidmatan terbaik daripada petugas PJH yang terlatih”, kata beliau.

Beliau menambah, kesabaran dan komitmen para peserta dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji amat disanjung tinggi dan para peserta layak dianugerahkan dengan Sijil Pengurusan Haji Petugas Pengelola Jemaah Haji yang diiktiraf oleh Tabung Haji dan USIM.

Cik Nur Sa’adah Musa, 25, peserta dari Rayhar Travels Sdn Bhd berkata, kursus sebegini dapat meningkatkan pengetahuan dan kualiti kerja kerana kandungan kursus bukan sahaja menekakan tentang hukum-hukum pelaksanaan haji malah turut menekankan nilai-nilai murni dan pembangunan modal insan.

Tuan Haji Wan Hassan, Pengarah Urusan Syarikat Pelancongan Yaskin Sdn Bhd berkata, kursus ini memberi banyak manfaat dan meningkatkan prestasi pengurusan haji. Beliau menharapkan agar kursus ini dapat disambung ke peringkat yang lebih tinggi dalam memastikan perkhidmatan terbaik daripada petugas yang terlatih.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028