NILAI, 11 Januari 2019 – Berkuat kuasa 1 Januari 2019 lalu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) majoritinya dibarisi oleh pimpinan baharu yang menjalankan peranan sebagai Dekan dan Timbalan-Timbalan Dekan di Fakulti, Pengarah dan Timbalan Pengarah serta Ketua Jabatan berdasarkan lantikan oleh Pengurusan Universiti.
Sehubungan itu, satu program dinamakan “Ayuh Bertekad Cemerlang” dianjurkan oleh Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar USIM pada 10 Januari 2019 bertempat di Nilai Spring Resort Hotel bertujuan mengukuhkan kefahaman peserta menerusi input dan perkongsian halatuju dan akspektasi sejajar dengan pelantikan baharu ini. Selain itu, ia juga adalah untuk menyemarakkan semangat peserta menerusi penghayatan dan konsep kecintaan kepada USIM agar penyatuan fikrah dan idea dapat diperkasa demi kemajuan Universiti.
Menurut Naib Canselor USIM, YBhg. Prof Dato’ Dr Musa Ahmad berkata, pemilihan mengambil muka baharu untuk menerajui kepimpinan universiti ini adalah strategi USIM untuk mendapatkan gaya dan idea baharu yang segar untuk diaplikasikan demi kemajuan Universiti. Ini kerana mereka yang dilantik adalah berdasarkan kepada beberapa fasa pemilihan dan penilaian daripada Jawatankuasa yang dilantik.
“Saya amat berharap dan memberi kepercayaan penuh kepada kepimpinan yang baharu agar dapat menerapkan semangat bekerja kerana Allah SWT yang akhirnya akan melahirkan kesetiaan, ketaatan dan disiplin yang cemerlang,” katanya.
Beliau juga mengharapkan sesi perkongsian yang pertama kali diadakan bersama barisan pimpinan baharu agar dapat sama-sama menghayati matlamat dan aspirasi USIM di dalam persediaan menghadapi USIM 2035.
Selain itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, YBhg. Prof. Dr Abdul Rahim Abdul Rahman yang berkongsi mengenai topik kepimpinan akademik dan kesarjanaan mengharapkan agar ketua yang dilantik dapat menyampaikan maklumat dengan jelas kepada semua staf, bersifat kolektif, mempunyai idea yang jelas dan boleh bekerja secara berkumpulan dengan baik.
Beliau juga memaklumkan bahawa seseorang pemimpin perlu mempersiapkan diri dalam empat aspek iaitu mempunyai misi yang jelas, memberi respon kepada setiap perubahan, komitmen dan merealisasikan misi.
Dalam masa yang sama, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, YBhg Prof. Dato’ Dr Roshada Hashim berkata bahawa bidang penyelidikan juga memainkan peranan penting dalam memacu kejayaan Universiti. Menurutnya, aspek fasiliti, motivasi penyelidik dan peluang untuk mendapatkan geran dari dalam dan luar negara menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan dalam bidang penyelidikan.
Beliau juga bersetuju sekiranya diadakan program mentor-mentee untuk mengarusperdanakan aktiviti penyelidikan dengan membawa bersama-sama semua staf akademik USIM untuk meningkatkan peluang penerbitan di dalam jurnal yang berindeks, meningkatkan sitasi, reputasi akademik dan melahirkan lebih banyak kepakaran.
Manakala Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni yang baru dilantik, Prof Madya Dr Mohd Rushdan Jailani memberikan semangat dan motivasi kepada staf muda yang dilantik agar terus berkhidmat namun perlu menerapkan prinsip saling menghormati di antara satu sama lain. Selain itu, sebagai pemimpin kita perlu memastikan agar staf boleh mempercayai kita dan percaya dengan kemampuan, nilai, kebolehan dalam diri kita untuk mempengaruhi orang lain.
Menurut salah seorang peserta program, Dr Mushaddad bin Hasbullah, Pengarah Pusat Wakaf dan Zakat USIM yang baharu ketika ditemui menyatakan bahawa lantikan ke jawatan pentadbiran ini memberi peluang kepada beliau untuk belajar dan lebih memahami aspirasi Universiti dan bersedia mengambil tugas ini dengan hati yang terbuka dan mengharapkan redha Allah SWT.
Pada masa yang sama, Pihak Pengurusan Universiti juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada kepemimpinan yang lama dan telah banyak menyumbang kepada kejayaan Universiti.
Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032