NILAI, 17 April 2018 – Dalam usaha mempertingkatkan kemahiran berbahasa di kalangan pelajar Thailand di samping mempromosikan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diperingkat antarabangsa, USIM ‘Alamiyyah bersama Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) menganjurkan Language Summer Camp 2.0. Penganjuran kali ke-2 ini disertai seramai 20 orang pelajar daripada Sasnupatam School of Pattani, Thailand dan Maahad Tarbiyah Khairiyah Songkla, Thailand.

Pelajar yang terdiri daripada 8 lelaki dan 12 perempuan menginap di Kolej Akasia Blok A dan B dilihat seronok mengikuti program yang berlangsung selama dua minggu bermula 2 hingga 15 April 2018.

Program ini dianjurkan bertujuan menerangkan kepentingan kemahiran berkomunikasi dalam kehidupan selain pelajar diperkenalkan sebutan bahasa yang betul dan berpeluang memperkayakan kosa kata dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab serta bagi membina keyakinan pelajar untuk berkomunikasi dalam ke dua-dua bahasa tersebut.
11 orang pelajar mengikuti Kursus Bahasa Inggeris dan 9 orang pelajar yang lain mengikuti kursus Bahasa Arab. Bagi melancarkan perjalanan program ini, dua orang pensyarah bahasa telah disediakan dan 1 2 orang fasilitator sebagai pembantu.

Selain mengikuti kursus bahasa, pelajar juga didedahkan dengan aktiviti-aktiviti luar melawat Pantai Batu Empat, Port Dickson, Balai Cerap Baitul Hilal, Teluk Kembang bagi melihat cara-cara mencerap anak bulan selain berpeluang ke Kuala Lumpur dan Putrajaya. Di samping itu, mereka di majlis makan malam oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) bertempat di Hotel Kelana Beach Resort.

Menurut Pn. Amiliayanti Abd Halim, penyelaras Unit Bahasa Inggeris, Secara keseluruhan, Program LSC 2.0 telah berjalan dengan lancar dan jayanya. Peserta telah mengikuti modul pembelajaran yang berjumlah 30 jam. Modul yang dihasikan oleh guru-guru Bahasa Inggeris menfokus kepada aspek komunikasi dan teknologi.

“Aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pelajar bukan sahaja tertumpu kepada aktiviti di dalam kelas yang berkaitan dengan Bahasa Inggeris sahaja, malahan pelajar juga terlibat dengan aktiviti luar kelas seperti cycling dan  teambuilding. Aktiviti seperti language games (Scrabble) dan penggunaan lagu juga turut dintegrasikan dalam modul yang dihasilkan. Secara keseluruhan, pelajar mendapat pendedahan kepada kemahiran komunikasi, penggunaan teknologi WEB 2.0 (Kahoot) dan juga membina keyakinan diri dalam penggunaan Bahasa Inggeris untuk komunikasi,” ujarnya.

“Program ini telah berjaya menarik penganjur daripada pihak sekolah terbabit untuk terus bekerjasama dengan USIM. Program seperti ini perlu dilebarkan peranan di peringkat serantau dan antarabangsa bagi melebarkan lagi jaringan USIM dengan pihak luar. Semoga program ini dapat diteruskan di masa hadapan dan dapat dilebarkan pesertanya daripada negara-negara lain,” tambahnya lagi.

Disediakan oleh:
Prof Madya Dr. Rosni bin Samah
Pensyarah FPBU

Kashfunnur Iman bt. Shaharuddin
Fakulti Ekonomi dan Muamalat