NILAI – Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah melaksanakan Latihan Kolektif terakhir tahun 2025 melalui Ujian Jalan Laju (UJL) sejauh 15 kilometer yang berlangsung di sekitar Kawasan Am USIM pada 22 Ogos 2025. Latihan ini disertai oleh tiga (3) Pegawai Tetap, 16 Jurulatih serta staf PALAPES USIM.
Menurut Prosedur Tetap (PROTAP) Latihan Pemerintah Latihan dan Doktrin Tentera Darat (PLDTD), UJL 15 km bertujuan memupuk dan meningkatkan ketahanan mental dan fizikal secara progresif serta berterusan sepanjang tahun. Secara khusus, pelaksanaan ujian ini memberi tumpuan kepada tiga objektif utama iaitu meningkatkan dan mengekalkan kecergasan mental dan fizikal, mewujudkan kesedaran serta kefahaman semangat kesatuan dan setiakawan, seterusnya menguji kemampuan ketua rendah (junior leaders) dalam aspek perintah dan kawalan.
Ketua Jurulatih PALAPES, Mejar Noor Efendy Hj Samih berkata, berpandukan objektif ini, warga PALAPES USIM berjaya menamatkan latihan kolektif terakhir sebelum mereka diaturgerakkan ke Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menyertai Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES UA Ke-43 yang dijadualkan berlangsung dari 25 Ogos hingga 13 September 2025.
“Pelaksanaan UJL ini turut menjadi bukti bahawa setiap pegawai dan jurulatih PALAPES USIM berpegang teguh pada cogan kata “Latihan Teras Keyakinan”, yang menekankan pembentukan ketahanan diri, keberanian, serta disiplin sebagai asas seorang tentera. Semangat tersebut bukan sahaja melahirkan anggota yang cergas secara fizikal dan mental, malah mampu beradaptasi dengan apa jua cabaran masa depan”, ujarnya.
Seiring dengan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-30: Pencapaian Sinergi 3M, khususnya Teras Pertama iaitu Cakna Etos Kepahlawanan, UJL 15 km ini memperkukuh semangat juang, daya tahan, dan keberanian sebagai asas kesiagaan tempur.
Justeru, latihan ini bukan sekadar memenuhi kehendak PROTAP PLDTD, malah menjadi wadah penting untuk menyemarakkan etos kepahlawanan serta mempererat semangat kebersamaan dalam kalangan warga PALAPES USIM.