THAILAND – Sejumlah 8 orang delegasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang diketuai oleh Prof. Dato’ Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) telah mengadakan lawatan di beberapa universiti di Selatan Thailand termasuklah Prince Songkla Universiti, Fatoni Universiti dan Yala Rajabhat Universiti pada 14 hingga 18 Februari 2024. Turut menyertai lawatan tersebut ialah Dato’ Muhammad Haizuan Rozali, Pendaftar USIM.

Prof. Dato’ Dr. Adnan Mohamed Yusoff berkata lawatan yang direncanakan oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dengan kerjasama Pusat Hal Ehwal Pelajar dan Pejabat Pendaftar adalah untuk membuka ruang kerjasama baharu bukan sahaja dalam aspek pembangunan sahsiah pelajar malah dalam pelbagai ruang lain seperti akademik dan sukan untuk mengembangkan ilmu pengetahuan pelajar USIM khususnya melalui pengalaman di luar negara.

Delegasi USIM telah berpeluang berjumpa dengan Pengurusan setiap universiti dan membincangkan hala tuju kerjasama dalam pelaksanaan program kesukarelawanan Global Islamic Students Outreach (GISO), pertukaran budaya dan sukan. Selain itu, perbincangan tersebut turut menyentuh tentang kerjasama dari segi pembangunan akademik meliputi pertukaran pelajar dan staf.

Lebih menarik tentang lawatan tersebut apabila Prof. Dato’ Dr. Adnan Mohamed Yusoff berpeluang menyampaikan khutbah Jumaat di Yala Rajabhat Universiti. Turut dilawati adalah sebuah perkampungan di Narathiwat iaitu Ban Blukasnor yang bakal menjadi lokasi program GISO Perdana USIM pada bulan Ogos 2024 nanti.

Prof. Dato’ Dr. Adnan Mohamed Yusoff berkata hasil daripada lawatan ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) dan akan dilaksanakan sepanjang tahun 2024 ini. “HEPA sangat komited dalam memastikan agenda pemerkasaan mahasiswa dapat dilaksanakan dengan berstruktur dan berimpak tinggi. Saya juga berharap agar pelaksanaan GISO Perdana pada tahun ini akan lebih bermanfaat hasil kerjasama beberapa universiti yang telah menyampaikan hasrat untuk berkerjasama dalam program tersebut,” tambah beliau.

Oleh Mohd. Fazhiruddin Kamaruddin