JELEBU, 8 April – Sebanyak 105 mahasiswa dari lima buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)  telah menyertai Program Kepimpinan Mahasiswa Islam Perdana yang telah diadakan di kem D’Agroloka, Jelebu, Negeri Sembilan pada 5 April hingga 8 April 2013. Program ini diursetiakan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan di sokong oleh Kementerian Pengajian  Tinggi (KPT) dengan pemberian peruntukan khas bagi tujuan ini.

Penyertaan jumlah peserta yang besar dari lima IPTA iaitu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknikal Melaka (UTEM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencerminkan komitmen universiti terlibat dalam melahirkan bakal pemimpin berwibawa.

Menurut Timbalan Pengarah Program, Ecik Amin Al-Haadi Shafie menjelaskan program kepimpinan ini bertujuan untuk mengasah bakat kepimpinan dalam kalangan pemimpin muda Islam di Universiti dengan mengaplikasikan konsep kepimpinan Islam yang betul.

“Program ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan berkesan dan menjadi medan perbincangan serta bertukar-tukar fikiran mengenai konsep kepimpinan Islam di antara mahasiswa-mahasiswa yang hadir menerusi pelbagai aktiviti yang telah dirancang”.

“Melihat kepada sambutan terhadap program ini, pihak kami juga bercadang untuk mengadakan program siri kedua pada cuti semester yang akan datang dan berhasrat untuk melihat lebih ramai lagi penyertaan dari IPTA yang lain,” katanya lagi ketika ditemubual.

Selain daripada aktiviti indoor seperti ceramah dan forum, peserta juga telah diberi peluang untuk mengikuti program community engagement bersama masyarakat Orang Asli di Kg Ulu Kelaka yang bertujuan untuk memberi pendedahan dan peluang kepada peserta mengenali budaya masyarakat Orang Asli dan menonjolkan nilai keperibadian Muslim menerusi program yang dijalankan di sana.

Menurut salah seorang peserta, Muhammad Rais Abd Karim dari UNISZA, berpendapat “Pengisian dan aktiviti yang terdapat dalam program kepimpinan sebegini dapat membentuk semangat kerja berpasukan, percaya kepada pemimpin, sifat tolong-menolong dan berani berhadapan dengan sebarang bentuk kesukaran”.

Program ini yang dikelolakan secara bersama oleh Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM.

Disediakan oleh:
Cik Fauziah Hassan
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Disunting oleh :
Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)