NILAI,10 FEB 2015 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjadi tuan rumah penganjuran Sukan Mahasiswa Negeri Sembilan atau singkatannya SUKNES@U 2015 yang berlangsung bermula 8 hingga 10 Februari 2015.

Penganjuran sukan ini amat dinantikan oleh mahasiswa Negeri Sembilan ini kerana ia satu-satunya kejohanan sukan yang mana para pesertanya hanya terdiri dari anak anak Negeri Sembilan. Mereka ini yang sedang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) diseluruh negara mewakili masing-masing ke kejohanan ini.

Kejohanan ini dianjurkan oleh Pertubuhan Mahasiswa Negeri Sembilan (MANIS) dengan kerjasama Pusat Sukan USIM dan sokongan Kerajaan Negeri Sembilan dan Yayasan Negeri Sembilan (YNS).

Ini merupakan edisi kedua ia dianjurkan selepas kali pertama diadakan pada tahun 2010 di mana Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi menjadi tuan rumah sulung. Penyertaan IPT ke SUKNES@U kali ini lebih meriah dengan lebih dari 22 IPTA dan IPTS seluruh Malaysia menghantar kontinjen masing-masing dalam  pertandingan sukan kali ini.

Antaranya dari UKM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaya. Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Acara yang di pertandingkan sebanyak 9 permainan melibatkan acara sukan teras seperti futsal, bola jaring, bola tampar lelaki dan wanita, sepak takraw serta ping pong dan sukan rakyat  seperti tarik tali, tarik upih, guli dan galah panjang. Kesemua acara ini berlangsung di Kompleks Sukan Tunku Najihah USIM.

Lebih 1200 orang peserta dan mahasiswa terlibat bagi menjayakan temasya ini yang dianjurkan atas tujuan utama untuk mengeratkan silaturahim dan perpaduan dikalangan anak anak Negeri Sembilan.

Majlis Perasmian Pembukaan SUKNES@U telah disempurnakan oleh Profesor Dato’ Dr. Mohamed Asin Dolah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM pada semalam. YAB Datuk Seri Utama Mohamad Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan dijangka akan merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah kejohanan tersebut pada esok hari bertempat di Dewan Besar USIM.

Disediakan oleh :

Zaini Othman

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204