Bandar Baru Nilai, 31 Julai 2010 – “Peranan dan tanggungjawab sesebuah universiti tidak terhad kepada menyalurkan ilmu kepada mahasiswa-mahasiswa mereka sendiri namun tanggungjawab terhadap pembangunan akademik masyarakat setempat juga perlu ditekankan dan diambil kira”, ucap Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah.

Justeru itu, Kelab Pembimbing Rakan Universiti (PRU) dengan kerjasama Unit Psikologi Kaunseling dan Kerjaya (UPKK) USIM telah menjayakan Program Motivasi Kecemerlangan Diri & Seminar skor ‘A’ Pelajar PMR 2010 (PERKASA) yang berlangsung di Dewan Kuliah Pusat, USIM di Nilai, Negeri Sembilan.

Program selama satu hari ini bertujuan untuk meningkatkan keyakinan diri para pelajar untuk menghadapi peperiksaan PMR. Di samping itu berkongsi ilmu serta memberikan pendedahan yang terbaik kepada para pelajar mengenai teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan.

“Seramai 143 pelajar tingkatan 3 dari 4 buah sekolah sekitar Negeri Sembilan dipilih untuk menyertai program ini, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pedas, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Hj Ahmad Said, Sekolah Menengah Agama Nilai dan Sekolah Menengah Agama Rantau”, kata Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Program Motivasi Kecemerlangan Diri & Seminar Skor ‘A’ Pelajar PMR 2010 (PERKASA).

Antara pengisian program ini adalah sesi ceramah bagi matapelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Penceramah terdiri daripada guru-guru yang pakar dan mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang masing-masing. Selain itu sesi motivasi dari En. Ahmad Subhi Che Ab Razab yang merupakan kaunselor terlatih bertujuan untuk menyuntik semangat dan keyakinan diri para pelajar.

Selain itu, Persatuan Pembimbing Universiti (PRU) menjadi fasilitator yang membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada pelajar-pelajar tentang tips peperiksaan dan berkongsi keseronokkan belakar di Universiti.

Mohd Rakin Mohd Rofee, pelajar Sekolah Menengah Agama Rantau berkata, program Ini merupakan kali pertama disertainya.

“Saya gembira menyertai program sebegini kerana disamping mendapat ilmu, saya juga dapat menambah kenalan dan bertukar-tukar pandangan dan idea”, tambah Mohd Rakin.

Sementara itu, Nur Anis Amira Mohd Anas, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pedas berharap program sebegini dapat meningkatkan motivasi yang tinggi di kalangan para pelajar disamping menarik minat untuk menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028