AMPANG– Seramai 40 mahasiswa Kelab UNESCO Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di bawah Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) telah menjayakan program libatsama masyarakat bertemakan Sentuhan Nurani, Jalinan Kasih di Rumah Kebajikan Nur Hati, Ampang, Selangor pada 14 Jun 2025 baru-baru ini.

Program anjuran bersama Kluster Pendidikan dan Kluster Sains Sosial ini telah menyantuni 38 orang kanak-kanak dengan pelbagai latar belakang termasuk anak yatim, mualaf, anak terbuang, serta remaja bermasalah.

  

Penasihat program, Prof. Madya Dr. Sakinah Ali Pitchay, merakamkan penghargaan kepada pihak rumah kebajikan atas kesudian menerima kunjungan para mahasiswa dalam usaha menyemai nilai ihsan dalam kalangan komuniti.

“Sebagai persediaan, kutipan buku terpakai telah dilaksanakan dua hari sebelum program sebagai sumbangan intelektual kepada anak-anak di rumah kebajikan tersebut, selari dengan nilai pendidikan dan kemanusiaan yang diperjuangkan oleh UNESCO”, ujarnya lagi.

Sementara itu, Pengarah program, Siti Nursarah Zafirah Kemarolzaman berkata, pengalaman ini memberi peluang kepada peserta untuk menghayati nilai empati, menyantuni insan lain tanpa mengira latar belakang serta mempraktikkan pembelajaran sepanjang hayat yang sebenar.

Program dimulakan dengan bacaan doa dan ceramah motivasi bertajuk “Ihsan: Kunci Insan Cemerlang” oleh Dr. Sakinah, disusuli sesi soal jawab interaktif bersama kanak-kanak. Aktiviti ini bertujuan memupuk jati diri, sahsiah unggul dan semangat positif dalam kalangan peserta.

Pelbagai aktiviti dijalankan termasuk permainan Tirai Ajaib, sesi bercerita dan penyerahan buku bacaan, selain aktiviti mewarna dan sudoku bagi merangsang kreativiti serta kognitif kanak-kanak. Mahasiswa turut bergotong-royong membersihkan bilik, menyusun barangan, melipat pakaian serta mengemas ruang kediaman demi mewujudkan persekitaran yang lebih selesa.

Program diakhiri dengan penyerahan barangan keperluan harian seperti beras dan minyak kepada penjaga rumah kebajikan sebagai tanda keprihatinan warga USIM terhadap komuniti yang memerlukan.

Oleh: Nur Wardina Sofea Azman