SYRIA, 10 NOV 2015 – Misi Kemanusiaan: Jelajah Mahasiswa Di Bumi Jordan di bawah Global Islamic Student Outreach (GISO) USIM turut bekerjasama dengan Badan NGO Muslim Care Malaysia yang menjalankan Misi Bantuan Musim Sejuk. Seramai 8 orang mahasiswa USIM telah sertai misi bantuan pelarian Syria di Jordan pada 7 hingga 10 November 2015.

Jordan merupakan negara ketiga terbesar kemasukan pelarian Syria demi menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa perang yang masih tidak berkesudahan. Musim sejuk hampir bermula dengan suhu kini mencecah 10 darjah Celcius pada waktu malam.

Masih ada lagi saudara seagama kita yang masih terbiar di luar sana tanpa perlindungan. Dengan izin Allah SWT, sekumpulan pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Program Misi Kemanusiaan pelarian Syria ini merupakan program julung kali dianjurkan oleh mahasiswa USIM dengan membawa hasrat bahawa keberadaan mahasiswa itu juga mampu membantu dan mengangkat martabat mereka yang teraniaya dan dalam kesusahan.

Menurut pengarah program, Muhammad Miqdam bin Mohd Rashid 22, program ini bermatlamat ingin memanifestasikan peranan mahasiswa sebagai agen perubahan yang mampu bersuara dan berperanan mengangkat nilai kemanusiaan dan memartabatkan maruah agama dan ummah di peringkat antarabangsa.

Misi ini turut disertai oleh pengarah dan penerbit terkenal Afdlin Shauki, Aziz M Osman, pendakwah bebas Syed Abdul Kadir Aljoofre dan bekas anggota kumpulan nasyid UNIC, Ahmad Fadzli Abd Aziz.

Misi kemanusiaan penuh bermakna ini disertai dengan aktiviti pengagihan sumbangan musim sejuk dan keperluan harian kepada keluarga angkat pelarian Syria, sesi beli belah baju sejuk bersama kanak-kanak Syria, lawatan dan pengagihan di Kem Pelarian Dafina, Mafraq dan sesi pembelajaran santai bersama kanak-kanak Syria.

Setiausaha program, Najihah Yaakob 22, berkata “Program ini telah mencapai objektifnya. Program ini telah membuka mata dan hati kami. Runtun hati kami apabila melihat dengan dua mata kami pelarian Syria di kem mereka. Suasana yang serba kekurangan, berlantaikan tanah lumpur,
berbumbungkan khemah dan berdindingkan kanvas nipis. Tidak dapat kami bayangkan bagaimana mereka akan menghadapi musim sejuk pada kali ini yang dijangka terburuk dalam tempoh 100 tahun”.

“InshaaAllah kami akan terus konsisten dengan agenda pembangunan ummah walau di mana kami berada. Hadis Rasulullah SAW bermaksud Sebaik-baik manusia adalah mereka yang bermanfaat kepada orang lain akan tetap menjadi tunjang perjuangan kami”, itulah harapan pengarah program Muhammad Miqdam Mohd Rashid 22.

Disediakan oleh:

Muhammad Miqdam bin Mohd Rashid

Dikemaskini oleh:

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204