Putrajaya, 20 Disember 2008 – Pada tahun ini USIM melahirkan seramai 289 graduan USIM yang terdiri daripada graduan Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Diploma Siswazah yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Ke-6 menyaksikan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) mengeluarkan seramai 42 orang graduan kumpulan sulungnya. Kumpulan pertama ini telah memulakan pengajian pada Sesi 2004/2005 di Kampus Sementara FST di Bangi, Selangor sebelum berpindah ke Bangunan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan pada 15 Disember 2005 dan kemudiannya ke Bangunan Makmal Pelbagai Guna FST/Pusat Tamhidi di Kampus Tetap USIM, Bandar Baru Nilai pada 7 Mei 2007.
Graduan ini terdiri daripada 8 orang lelaki dan 34 orang perempuan merupakan kumpulan perintis bagi Program Bioteknologi Makanan yang merupakan program akademik pertama di FST. Sehingga Sesi Akademik 2008/2009, FST telah menawarkan enam buah program, iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian dalam Program Bioteknologi Makanan, Program Sains Aktuari & Pengurusan Risiko, Program Matematik Kewangan, Program Fizik Gunaan, dan Program Teknologi Kimia Industri, dan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dengan Kepujian dalam Program Keselamatan dan Jaminan Maklumat.
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan juga melahirkan graduan sulung bagi program Komunikasi dan Kaunseling. Bagi program Komunikasi seramai 38 graduan (8 lelaki dan 30 perempuan) akan menerima Ijazah mereka. Manakala seramai 41 graduan (9 lelaki dan 32 perempuan) daripada program Kaunseling akan menerima Ijazah.
Keunikan kedua-dua program yang ditawarkan di USIM ialah setiap pelajar perlu mempelajari kursus Qiraat dan Hafazan Ayat-ayat Al-Quran di samping kursus-kursus yang berkaitan dimana ianya bukan sahaja melengkapkan pelajar dengan ilmu dunia malah ilmu akhirat turut ditekankan. Langkah-langkah ini diambil adalah sebahagian usaha dalam merealisasikan hasrat USIM yang berpaksi kepada pengajian yang merentasi semua bidang yang memenuhi kehendak pasaran.
Para pelajar kumpulan sulung ini telah membuktikan bahawa di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Maka berkat daripada dedikasi dan semangat untuk berjaya, mereka akhirnya berjaya membuktikan kemampuan untuk mencapai impian bagi menggenggam segulung ijazah dalam Majlis Konvokesyen USIM Ke-6 pada 20 Disember 2008.
oleh :
pro@usim.edu.my
06-7988025/8026/8028