KEMPAS, 4 Februari 2018Majlis Pelancaran dan Penyerahan Projek Duta Jauhar 4.0 USIM yang telah berlangsung di Balai Raya Permatang Kempas, Johor Bahru. Program Duta Jauhar ini merupakan inisiatif daripada Y.A.B Dato’ Mohamed Khaled Bin Nordin selaku Menteri Besar Johor dalam mentransformasi masyarakat di Negeri Johor dengan mengaplikasikan pendekatan National Blue Ocean Strategy (NBOS) yang berjaya melibatkan sejumlah 100 agensi kerajaan dan swasta serta lebih 3,000 orang ahli masyarakat dalam Program Duta Jauhar Siri 1.0, 2.0, 3.0 serta dalam perlaksanaan Program Duta Jauhar Siri 4.0 pada tahun ini.

Projek Orla Farm dan Well Disposer merupakan projek Duta Jauhar USIM. Kedua-dua projek ini merupakan projek keusahawanan sosial di mana Projek Orla Farm menggunakan sisa makanan untuk menghasilkan baja organik manakala projek Well Disposer mengumpulkan minyak masak terpakai dan mengitarnya semula. Matlamat kedua-dua projek ialah bagi mengelakkan pembaziran dan mengatasi pencemaran alam sekitar.

Seramai 16 ahli Duta Jauhar USIM dan 13 orang sukarelawan telah terlibat dalam menjayakan Majlis Pelancaran dan Penyerahan Projek Duta Jauhar 4.0 USIM. Objektif majlis adalah untuk menyerahkan projek kepada golongan sasaran bagi memastikan kelestarian projek-projek tersebut untuk tahun-tahun mendatang dan juga untuk melancarkan produk Duta Jauhar USIM.

Majlis telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad selaku Naib Canselor USIM sekaligus merasmikan kedua-dua projek Duta Jauhar 4.0 USIM. Atur cara majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBhg. Dato’ Haji Abdul Rashid bin Kasman, Setiausaha Ahli Parlimen Pulai.

Majlis diteruskan lagi dengan ucapan dari YBhg. Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad. Dalam ucapan beliau, kedua-dua projek ini telah membantu dalam mengatasi pencemaran dan mewujudkan persekitaran yang sihat. Beliau berkata juga, program seperti ini juga mampu mengeratkan silaturrahim antara pelajar dengan masyarakat setempat kerana Islam sendiri menuntut agar muslim sesama muslim berbaik dan tidak bermusuhan. Seterusnya, YBhg. Prof. Dato’. Musa Ahmad bersama YBhg. Dato’ Haji Abdul Rashid bin Kasman  menyalakan lilin sebagai simbolik merasmikan projek Orla Farm dan Well Disposer serta persembahan video montaj projek Duta Jauhar 4.0 USIM.

Berikutannya, majlis pelancaran diteruskan dengan penyerahan sijil penyerahan projek kepada golongan sasaran oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Mohammad Najib Jaffar selaku penasihat Duta Jauhar 4.0 USIM diiringi pengarah projek. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada tetamu kenamaan dan jamuan. Dengan berjayanya majlis ini, diharap dapat dijadikan pemangkin semangat kepada ahli Duta Jauhar USIM bagi terus berusaha dengan lebih gigih lagi. Di samping itu, dengan perasmian projek diharap dapat memberi persepsi yang positif terhadap projek yang dijalankan amnya di mata orang ramai dan dengan harapan projek-projek Duta Jauhar USIM dapat pergi dengan lebih jauh.

Disediakan oleh:
Prof. Madya Dr. Mohammad Najib Jaffar
Fakulti Pengajian Bahasa Utama
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan