PUTRAJAYA, 21 JUN 2017 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hadir di Majlis Penyerahan dan Pelancaran Modul e-KAFA bagi menyerahkan modul e-KAFA (Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain) kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertempat di Auditorium Kompleks Islam di Putrajaya.

E-KAFA merupakan satu modul pembelajaran dalam talian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain yang dibangunkan sejak tahun 2010 oleh JAKIM dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) kemudian pada tahun 2015 kerjasama diteruskan dengan USIM sehingga selesai pada tahun 2016.

Pembangunan modul e-KAFA adalah merujuk kepada silibus yang disediakan oleh JAKIM dan akan menjadi salah satu Alat Bantu Mengajar (ABM) untuk meningkatkan penguasaan dan pemahaman ilmu asas Pendidikan Islam kepada pelajar KAFA khususnya dan masyarakat amnya.

Ia menampilkan kombinasi konsep animasi dan video grafik Islamik bersifat interaktif menjadi tarikan dan minat plajar untuk mengikuti pembelajaran E-KAFA.

“Diharapkan agar usaha mentransformasi sistem penyampaian pembelajaran KAFA ini dapat diperkukuhkan supaya program KAFA JAKIM menjadi penyokong yang berkesan kepada sistem Pendidikan Islam kebangsaan,” ucap Dr Najwa Hayaati.

“Sistem ini juga boleh diaskes oleh semua lapisan masyarakat di mana-mana tanpa mengira sempadan masa dan tempat yang mempunyai capaian internet. Pada masa ini, sistem e-KAFA boleh dilayari menerusi laman web berkut: simpeni.islam.gov.my dengan menggunakan semua jenis browser,” tambahnya lagi.

Ahli kumpulan USIM diketuai oleh Dr Najwa Hayaati diikuti Mohd Faizal Mohd Fuaad, Mohamad Faiz Taip, Nurhuda Ruzlan, Muhammad Muizzuddin Musa dan Muhammad Zarin Mislan dari Unit Pembangunan Kandungan, GOAL ITQAN.

Pada majlis tersebut, USIM yang diwakili oleh Dr Najwa Hayaati Mohd Alwi, Timbalan Pengarah Bahagian Inovasi Pembelajaran & Pengajaran (GOAL-ITQAN) menyerahkan modul e-KAFA dan menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh YBhg Tan Sri Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM.


Disediakan oleh:
Mohamad Faiz Taip
Pegawai Teknologi Maklumat
Bahagian Inovasi Pembelajaran & Pengajaran GOAL-ITQAN