NILAI, 29 Oktober 2021 Sebagai menzahirkan simbolik penghargaan kepada staf di atas jasa bakti dan kesetiaan berkhidmat di USIM, satu majlis ringkas yang di urus setia oleh Jabatan Pendaftar telah diadakan bertempat di Dewan Tuanku Canselor.

Majlis Sanjungan Budi ini telah menyaksikan seramai 151 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Setia, 17 orang pesara dan tujuh waris staf yang telah meninggal dunia telah menerima penghargaan dari universiti.

Dalam ucapan perasmian Naib Canselor Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin berkata, diharapkan dengan pengiktirafan dan penghargaan seumpama ini dapat melonjakkan motivasi warga USIM untuk menjadi insan yang bersahsiah dan berkualiti pada masa hadapan.

“Kepada semua pesara, semoga dikurniakan kesejahteraan, diberikan kesihatan yang baik dan semoga kenangan terindah berkhidmat di Universiti Sains Islam Malaysia sentiasa tersimpan dalam memori”, ujarnya.

“Islam mengajar umatnya agar sentiasa berusaha mengamalkan budaya kerja yang cemerlang dengan bertunjangkan iman dan akhlak. Bagi yang menyedari hakikat ini, mereka akan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti dan produktiviti pada setiap masa tanpa rasa jemu. Mereka sedar bahawa bekerja itu bukan sekadar tanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara malah ia merupakan amanah Allah SWT. Pekerjaan yang terbaik adalah daripada hasil usaha tangan sendiri”, ujarnya lagi.

Majlis diserikan dengan persembahan dari Pusat Kebudayaan USIM. Turut hadir Prof. Dr. Mohd Radhi Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM turut Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Dato’ Muhammad Haizuan Rozali, Pendaftar USIM serta Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan