RANTAU, 27 Okt.- Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad bin Haji Hasan memuji usaha dan sikap positif yang ditunjukkan oleh 95 pelajar Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang terlibat dalam menjayakan program Khidmat Mahasiswa Prihatin yang diadakan selama tiga hari bermula 25 Oktober yang lepas.

“Ini merupakan salah satu program kemasyarakatan yang akan membentuk jati diri mahasiswa supaya mereka dapat menyesuaikan diri dan berinteraksi dengan masyarakat luar sekaligus menyumbang kepakaran dan ilmu yang mereka dapat melalui sistem pembelajaran di Universiti kepada penduduk kampung,” katanya ketika merasmikan majlis perasmian penutupan program di Masjid Jamek, Rantau.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Daerah Rantau turut melahirkan rasa kagum dengan semangat kerjasama yang diberikan oleh penduduk kampung melalui program penyerahan anak angkat di antara pelajar USIM dan 45 keluarga yang terlibat dan amat mengharapkan bahawa hubungan silaturrahim akan sentiasa terjalin erat.

Menurut Penasihat program ini, Prof. Dr. Zulkiple Abd Ghani, Dekan FKP, program yang berbentuk community engagement ini sudah sememangnya sinonim dan menjadi program wajib kepada para pelajar di FKP.

“Melalui program sebegini, para pelajar dapat mengaplikasikan segala teori, ilmu dan kemahiran insaniah yang dimiliki seterusnya membentuk sifat kepimpinan dalam diri mahasiswa,” katanya ketika ditemubual.

Antara aktiviti yang dijalankan oleh para pelajar yang terlibat ialah ziarah mesra, pemeriksaan kesihatan, riadah, ceramah, gotong-royong, forum dan sebagainya.

Program yang mendapat peruntukan daripada Menteri Besar Negeri Sembilan ini telah diserahkan sempena pelancaran projek IM4U pada bulan Mac yang lepas di USIM dan turut mendapat kerjasama dari Pejabat Menteri Besar, Negeri Sembilan, Majlis Perbendaharaan Seremban, Negeri Sembilan, Jabatan Penerangan Negeri Sembilan, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Majlis perasmian penutupan ini dihadiri lebih daripada 1100 tetamu turut dihadiri oleh Y. Bhg Profesor Dato’ Dr. Mohamed Asin bin Dollah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), En Haizuan Rozali, Pendaftar USIM, En Hamran Husin, Pengarah Pusat Sukan USIM, Prof. Madya Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin, Timbalan Dekan Akademik dan Penyelidikan FKP dan wakil-wakil daripada setiap penaja.

Disediakan oleh :

Fauziah Hassan

Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Disunting oleh :

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)