NILAI, 24 MEI 2014 – Pelajar tahun tiga Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) telah menganjurkan Hari Keusahawan yang bertemakan ‘Melestarikan Keusahawan Kampus’ dengan kerjasama Pre Islamic Convention Entrepreneurs 10 (Pre- iCEPS 10) serta Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS) pada 21 hingga 24 mei 2014 bertempat di Pusat Kemudahan Pelajar (PKP).

Sebanyak 173 buah gerai telah dibuka oleh para pelajar dari pelbagai fakulti yang mengambil kursus Keusahawanan antaranya gerai menjual pelbagai jenis makanan, minuman, barang-barang terpakai malah ada juga pelajar yang menyediakan khidmat mencuci kereta da motosikal.

Objektif utama program ini dilaksanakan adalah untuk melahirkan para-para siswazah bersifat keusahawanan disamping menerapkan akhlak dan adab sebagai seorang peniaga.Tambahan pula program Pre-iCEPS ini adalah untuk menjana pendapatan bagi melaksanakan program iCEPS 10 yang bakal diadakan pada 12, 13 dan 14 November 2014 nanti.

Selain daripada aktiviti berniaga, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang minggu keusahawanan berlangsung, antaranya ialah, kelas membuat pastry oleh pelajar FEM serta demo membuat sushi oleh chef yang di datangkan khas oleh OShima Restaurant. Sesiber kongsi pengalaman perniagaan turut disampaikan oleh Khrill Rasyid, Sinar FM. Beliau berkongsikan pengalaman serta pahit getir dalam menceburi bidang perinagaan. Khrill juga turut mempromosikan produk terbarunya Kurta by Khrill Rasyid serta minuman kesihatan Herbal Aqua.

Dalam slot Jutawan Automotik serta Hartanah Lelong, pensyarah ekonomi FEM, Dr. Nuradli Ridzwan Shah berkongsikan cara untuk menghasilkan pendapatan dari rumah dengan mengetahui cara yang efektif untuk membuat pelaburan masa hadapan dalam bidang hartanah dan sebagainya. Selain itu, Dr. Nuradli juga berkongsikan tips-tips untuk menjadi jutawan setelah bersara. Wakil dari firma guaman hartanah, En. Khairul Anuar Shaharuddin turut dijemput untuk berkongsikan pengalaman beliau dalam mengendalikan kes-kes yang berkaitan dengan hartanah di Malaysia.

Perasmian logo rasmi serta minggu keusahawan Pre ICEPS ini telah berlangsung pada 23 Mei jam 8 malam dan telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Yang Berbahagia Professor Dato’ Dr Mohamed Asin Dollah dengan acara memotong kek. Turut menghadiri majlis perasmian, penyelaras iCEPS10 Dr.Nuradli Ridzwan Shah, ketua penyelaras subjek Keusahawanan En.Noorizzuddin dan juga Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa Dr. Ummi Salwa Bustamam

Dalam ucapan ketua penyelaras subjek keusahawanan, En.Noorizuddin turut menyelitkan sepotong hadith yang bermaksud, “Peniaga yang benar, amanah, dan jujur bersama dengan para nabi, saddiqin, dan golongan mati syahid” (Riwayat al-Tarmizi, bertaraf ‘hasan’). Hadis ini menggalakkan muslim berniaga tetapi hendaklah bersifat jujur dan amanah. Perniagaan adalah sumber rezeki, ia juga boleh menjadi sumber pahala yang membawa seseorang ke syurga dan darjat yang mulia.

Pada malam penutup 24 Mei telah diadakan program Ibrah Isra’ Miraj dan Malam Siratul Mahabbah sebagai memperingati peristiwa Isra’ Miraj. Ceramah disampaikan oleh Pegawai JAKIM, Ustaz Najmuddin Abd Karim serta turut diselangi dengan alunan nasyid oleh pelajar Pusat Kebudayaan, USIM iaitu kumpulan INTRACKSEE yang mengalunkan beberapa buah lagu yang membawa mereka ke peringkat ASEAN.

Disediakan oleh:

Syarah Athirah Mohd Sidik

Assistance Manager of PR Department

Disemak oleh:

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)