JEPUN, 20 November 2014 – Majlis Perwakilan Pelajar USIM sesi akademik 2013/2014 telah menjalankan Misi Lawatan Intelek ke Negara Matahari Terbit, Jepun dianggotai seramai 21 orang pelajar dan seorang pegawai pengiring pada 20 November 2014.

Umum sentiasa dengar ungkapan “Jepun merupakan sebuah negara maju yang hebat dengan pembangunannya serta tinggi budaya ketimurannya”. Justeru, dek kerana terpanggil untuk melihat sendiri hakikat kebenaran kata-kata masyhur itu, akhirnya mendorong misi ini dilaksanakan di sana.

Antara objektif lawatan ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan yang meluas kepada pelajar berkaitan kebudayaan dan kemasyarakatan di negara Jepun. Selain itu usaha tersebut dilihat sebagai satu usaha untuk menjalinkan hubungan kerjasama mahasiswa dengan masyarakat Jepun dan mahasiswa Malaysia di Jepun. Penganjuran program tersebut merupakan medium berkesan untuk memperkenalkan serta mempromosi USIM dan Malaysia di peringkat antarabangsa. Disamping itu lawatan tersebut bertindak untuk menggalakkan para peserta untuk melihat dan mengambil pengajaran daripada sistem pendidikan Jepun, di samping melawat ke tempat bersejarah dan pusat tumpuan pelancong.

Setiap detik di Tokyo merupakan pengalaman manis diperolehi oleh setiap peserta. Pengalaman-pengalaman tersebut mengajar para peserta seribu satu pengajaran yang menyentuh setiap aspek kehidupan mereka, antaranya dari sudut ketertinggian nilai kebudayaan masyarakat Jepun dan keteguhan disiplin mereka. Masyarakat Jepun bukan sahaja berusaha memelihara warisan budaya daripada nenek moyang mereka, bahkan juga berjaya mengekalkan nilai budaya ketimuran yang tinggi dalam diri.

Ketepatan masa telah sebati di dalam kehidupan seharian mereka bahkan telah mendarah daging di dalam diri setiap warga Jepun. Segala-galanya bergerak dengan pantas dan sistematik. Maka, sudah menjadi kebiasaan melihat orang awam berjalan laju, bahkan ada yang berlari demi mengejar masa untuk sampai ke satu-satu destinasi.

Disiplin dan Jepun pula tidak mungkin dapat dipisahkan. Tidak keterlaluan hendak dikatakan, bahawa merupakan sesuatu yang ‘aneh’ sekiranya terdapat individu yang melanggar disiplin dalam komuniti ini. Setiap hari pasti akan terlihat dimana-mana ‘rantai’ manusia daripada pelbagai lapisan umur, beratur panjang hanya untuk menaiki teksi, membeli makanan dan tiket, dan membayar barangan. Tidak ada yang memotong barisan. Selain itu, para pengguna jalan raya dari pejalan kaki sehinggalah pemandu lori, amat sulit untuk dilihat melanggar lampu isyarat dan peraturan jalan raya yang lain.

Lebih daripada itu, mereka sangat-sangat mengambil perhatian terhadap persoalan kebersihan sehingga amat sukar sekali hendak melihat secebis sampah di sekitar bandaraya metropolitan Tokyo. Justeru, hal ini bukanlah perkara yang ajaib dan perlu dibanggakan oleh masyarakat penggerak budaya kitar semula ini. Bahkan, pekerjaan sebagai pemungut sampah diletakkan nilai kemuliaan yang tinggi di mata masyarakat Jepun sehingga digelar “Jurutera Kebersihan”.

Melihat realiti ini, berasaslah kenyataan Ezra F. Vogel dalam bukunya “Why Japan is No.1”, tentang Kebangkitan Jepun dalam tempoh yang cukup singkat. Beliau merumuskan kebangkitan Negara Jepun yang mencapai taraf dunia, bukan disebabkan oleh wang, jauh sekali kebetulan, tetapi adalah disebabkan oleh budaya yang diamalkan oleh masyarakatnya, sehingga tidak sampai 20 tahun selepas kalah Perang Dunia Kedua,  bangsa Jepun bangkit dari kehancuran Hiroshima dan Nagasaki, seterusnya menjadi kuasa besar yang akhirnya mengatasi dominasi Amerika Syarikat dan Eropah.

Sambil menikmati suhu musim luruh yang jatuh hingga 5 darjah celcius serta mencuci mata dengan permandangan bandaraya metrapolitan yang sarat dengan bangunan pencakar langit dan pembangunannya yang pesat, Jejak  21 pengembara USIM ini turut sampai ke Arabic Islamic Institute at Tokyo (AII). Institusi ini merupakan cawangan Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud yang berpengkalan di Arab Saudi. Selain itu kos pengurusan dan pembelajaran sepenuhnya dibiayai oleh kerajaan Arab Saudi. Menurut  wakil dari Arabic Islamic Istitute:

“Pengajian bahasa Arab yang ditawarkan ini terbuka kepada seluruh lapisan masyarakat di Jepun tanpa mengira agama”

Menurutnya lagi, pengajian bahasa Arab yang ditawarkan adalah selama tiga tahun dan diberikan secara percuma.

Institusi yang ditubuhkan pada tahun 1982 ini berperanan sebagai pusat penyebaran bahasa Arab dan kebudayaan Islam. Pembinaannya juga merupakan simbolik kepada hubungan kesefahaman dan persahabatan antara Jepun dan Arab Saudi.

Pada hari yang lain, para peserta sempat beramah mesra dengan wakil pelajar Malaysia di Jepun. Kunjungan ke kediaman rasmi Malaysian Students’ Association in Japan (MSAJ) telah membuahkan ikatan ukhwah yang kuat di antara peserta rombongan dengan wakil para perwakilan pelajar Malaysia. Menurut saudara Abdul Rifqi Al-Abqary bin Abdul Walid , pelajar Master merangkap Naib President MSAJ bahagian Kanto, MSAJ bahagian Kanto merupakan badan utama yang membantu cawangan MSAJ di bahagian lain untuk melaksanakan sebarang program pelajar Malaysia.

Tambah Rifqi, “Pelbagai aktiviti yang dianjurkan dan dilaksanakan sendiri oleh MSAJ termasuk hari sambutan pelajar baru, Karnival Kerjaya, Pertandingan Sukan dan sebagainya. Namun Karnival Kerjaya adalah program terbesar MSAJ dan merupakan sumber janaan kewangan badan tersebut”

Selain itu, usaha untuk menyantuni pelajar Malaysia di Jepun diteruskan lagi dengan slot ramah mesra bersama Ikatan Pelajar Islam Jepun (IPIJ) dan Aspiring Malaysian Rijal (AMIR). Pertemuan yang cukup bermakna itu telah berlangsung di Masjid Camii. Ia merupakan sebuah masjid terbesar di Tokyo. Masjid yang didirikan oleh kerajaan Turki dengan seni bina Turki yang sungguh mengkagumkan ini, adalah simbolik kepada jalinan persahabatan di antara Jepun dan Turki. Menurut, saudara Muzammir Muhammad Presiden IPIJ, hubungan persahabatan antara dua buah Negara ini terjalin erat apabila kerajaan Turki memberi bantuan kepada kapal laut Jepun ketika satu kejadian kapal karam.

Perkongsian ilmiah oleh kedua-dua wakil badan pelajar tersebut, memberikan penjelasan yang lebih dalam kepada ahli rombongan terutamanya dalam persoalan dakwah Islamiyyah, dan hal-hal yang berkaitan dengan ekonomi, masyarakat dan budaya Jepun.

Menurut saudara Muzammir Muhammad (IPIJ), masyarakat Jepun sememangnya kaya dengan nilai-nilai murni, namun mereka tetap mempunyai kelemahan sebagai manusia biasa. Mereka (masyarakat Jepun) kebanyakannya kekurangan pengisian rohani dan hanya mengejar kemajuan dunia semata.

Menurutnya lagi, kehadiran gerakan IPIJ ini merupakan medium untuk menyebarkan dakwah Islam di Tokyo khususnya dan Jepun secara amnya.

Ketika ditanya tentang aktiviti dakwah yang dilaksanakan oleh AMIR, Presidennya saudara Ahmad Muzaffar memberitahu, dakwah yang dilaksanakan masih lagi berskala kecil dan lebih menumpukan kepada pelajar-pelajar Malaysia itu sendiri.

Sebelum menutup ucapannya, beliau sempat menitipkan nasihat kepada ahli rombongan, beliau menyeru agar sentiasa mensyukuri nikmat Islam dan memeliharanya. Hal ini kerana, hanya dengan Islam kejayaan hakiki mampu digapai.

Tokyo turut terkenal dengan keindahan taman-taman serta tempat-tempat bersejarah. Misi Lawatan Intelek ini telah mengunjungi beberapa taman dan tempat bersejarah di seluruh bandaraya Tokyo.

Di antara taman yang telah dilawati adalah taman Rikugien, Euno dan Yoyogi. Setiap taman tersebut mempunyai keunikan masing-masing. Apa yang menariknya usaha untuk menjaga dan memelihara kebersihan dan keindahan taman tersebut tidak hanya ditunjukkan oleh pihak berwajib, bahkan oleh rakyat Jepun yang mengunjungi taman tersebut. Sebagai contohnya, orang awam yang bersiar-siar di sekitar taman dengan anjing ternakannya akan sentiasa membawa bersama plastic khas untuk mengutip tahi anjing tersebut sekiranya, anjing tersebut berak.

Selain itu kesempatan untuk berkunjung ke beberapa tempat bersejarah tidak dilepaskan. Antara tempat-tempat yang dikunjungi seperti Imperial Palace dan Meiji Shrine. Kedua-dua tempat berkenaan meninggalkan kesan sejarah yang amat penting kepada pembangunan dan kemodenan Jepun. Imperial Palace, kediaman Rasmi kerabat Di Raja Jepun, menempatkan Museum of Imperial Collection yang menyimpan lebih 6000 barangan antik Diraja semasa peralihan zaman Showa dan Heisei. Manakala Meiji Shrine pula, menyimpan kisah bermulanya zaman kemodenan Jepun iaitu zaman Meiji.

Pada hari terakhir lawatan, seluruh kejerihan dan kepenatan berjalan kaki dan menaiki kereta api bawah tanah bergerak dari hujung ke hujung bandaraya Tokyo untuk menuju ke destinasi, akhirnya diredakan dengan keseronokan menaiki Tokyo Waterbus Cruise sambil melihat keindahan bandaraya metropolitan Tokyo di sepanjang sungai Sumida. Perjalanan dari Asakusa ke Odaiba tersebut mengambul masa selama 50 minit.

Pada pukul 11.45 malam waktu Jepun, tanggal 28 November 2014 bersamaan hari Khamis, rombonggan peserta Lawatan Intelek Majlis Perwakilan Pelajar sesi akademik 2013/2014 bertolak pulang ke Malaysia. Para peserta kembali dengan pelbagai kenangan terindah sepanjang tujuh hari di Bumi Negara Matahari Terbit berkenaan.

Disediakan oleh:

Mohd Taqwudin Bin Mohd Yazid,

Setiausaha, Kembara Intelek Ke Jepun, MPP USIM 2013/14

Dikemaskini oleh :

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204