NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh jaringan akademik serantau melalui kehadiran dua pelajar dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei Darussalam, yang kini mengikuti program pertukaran pelajar selama satu semester di USIM.
Program mobiliti berkredit itu menjadi platform penting dalam memperluas pengalaman pembelajaran rentas negara, memperkukuh hubungan akademik antara Malaysia dan Brunei, serta membuka ruang kepada pelajar untuk meneroka suasana pendidikan, budaya dan kehidupan kampus yang baharu.
Dua pelajar berkenaan, Yadiy Haji Jailani, 23, dan Aina Aswani Abdullah, 22, mengikuti pengajian dalam Program Dakwah dan Pengurusan Islam di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), USIM.
Mereka terpilih menyertai program tersebut berdasarkan kecemerlangan akademik serta prestasi dalam sesi temu duga sebelum memulakan pengajian di USIM.
Bagi Yadiy, pengalaman berada di USIM memberikan cabaran tersendiri, khususnya dalam menyesuaikan diri dengan suasana kampus yang luas serta kepelbagaian dialek dalam kalangan rakan-rakan pelajar.
Namun, beliau menyifatkan keramahan warga USIM sebagai antara faktor utama yang memudahkan proses penyesuaian dirinya sepanjang berada di kampus.
Dari sudut akademik pula, Yadiy tertarik dengan pendekatan pembelajaran di USIM yang banyak menekankan elemen praktikal dan kerja lapangan, termasuk tugasan yang dilaksanakan bersama komuniti setempat.
Pendekatan tersebut, menurutnya, memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih dekat dengan realiti masyarakat serta membantu pelajar memahami peranan ilmu dakwah dan pengurusan Islam dalam konteks kehidupan sebenar.
Sementara itu, Aina Aswani pula mengambil peluang sepanjang berada di USIM untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti kampus, termasuk program sukan dan kelas kemahiran.
Beliau menyifatkan pengalaman tersebut sebagai sangat berharga kerana bukan sahaja memperkaya kehidupan sebagai pelajar mobiliti, malah mampu menjadi sumber inspirasi dalam menyiapkan tesis tahun akhirnya apabila kembali ke Brunei nanti.
Ketua Program Dakwah dan Pengurusan Islam, FKP USIM, Dr. Nik Suhaida Nik Abdul Majid, berkata kerjasama tersebut merupakan kesinambungan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah terjalin antara USIM dan UNISSA.
Menurut beliau, program mobiliti ini bukan sekadar melibatkan pertukaran pelajar, sebaliknya turut merangkumi penyelarasan subjek dan pemantauan akademik secara rapi bagi memastikan kualiti pembelajaran pelajar sentiasa terpelihara.
“Kita mengharapkan hubungan ini kekal berterusan dan dapat dikembangkan kepada kolaborasi yang lebih besar, termasuk penganjuran program-program bersama pada masa hadapan,” katanya.
Penganjuran program mobiliti seperti ini mencerminkan komitmen USIM dalam memperluas dimensi antarabangsa pendidikan tinggi Islam serta memperkukuh peranan universiti sebagai hab ilmu yang mengintegrasikan kecemerlangan akademik, nilai Islam dan pengalaman global.
Melalui inisiatif ini, pelajar bukan sahaja berpeluang meningkatkan keupayaan akademik, malah membina kemahiran komunikasi antara budaya, keyakinan diri dan kefahaman yang lebih luas terhadap masyarakat serantau.
Oleh: Nur Khadija Sulaiman
