NILAI, 15 Mac 2017 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melangkah setapak lagi dalam penyelidikan bangunan lestari teknologi hijau untuk masa hadapan dengan siapnya projek Mizan Park yang dibangunkan di dalam kampusnya. Mizan Park USIM menempatkan satu unit rumah kediaman dan dua unit rumah pejabat yang kesemuanya dibina menggunakan teknologi sistem modular dan rekabentuk oleh Fakulti Kejuruteraan dan Senibina (FKAB) USIM.

Dua unit rumah pejabat yang dibina ini akan digunakan untuk tujuan penyelidikan inovasi bangunan pejabat berteknologi hijau di masa hadapan. Reka bentuknya berkonsepkan pejabat pelbagai fungsi supaya ia menjadi sebuah ruang pejabat yang cekap tenaga, mampan dan fleksibel sebagai tempat kerja serta pada masa yang sama boleh ditukar menjadi ruang pelbagai fungsi mengikut keperluan.

Sebagai sebuah bangunan yang menggunakan tenaga boleh diperbaharui dan cekap tenaga, ia adalah sebuah pejabat automasi pintar kerana menggunakan teknologi masa hadapan untuk menjadi sebuah bangunan yang ‘zero energy’. Antara ciri-ciri unik yang dimilikinya adalah tenaga elektrik dijana sepenuhnya melalui tenaga solar, penggunaan teknologi penapisan air dan penuaian air hujan, memiliki keselesaan dalaman yang tinggi serta bercirikan ‘livelihood’.

Satu unit rumah pejabat ini akan digunakan khusus untuk penyelidikan dan persiapan oleh pasukan FKAB USIM untuk pertandingan Solar Decathlon Middle East 2018 di Dubai. Selaku wakil tunggal negara, USIM akan mempertaruhkan sebuah model rumah pintar yang beroperasi sepenuhnya menggunakan tenaga solar bagi merebut hadiah kemenangan AED 10 juta. Manakala sebuah lagi unit akan digunakan oleh Pusat Inovasi, Jaringan Industri dan Masyarakat USIM untuk tujuan penyelidikan jangka panjang berkaitan pejabat teknologi hijau.

Sementara itu, sebuah unit rumah kediaman yang turut dibina di dalam Mizan Park ini adalah model rumah banjir sebenar USIM yang dipilih oleh TESCO Malaysia untuk menjayakan Projek Shelter TESCO-USIM pada 2015. Sebanyak 10 unit rumah ini telah dibina oleh TESCO dan disumbangkan kepada mangsa banjir di Tumpat, Kelantan yang musnah kediaman akibat tragedi banjir besar yang melanda negeri tersebut pada akhir 2014.

Rumah USIM Shelter ini berkeluasan 750m2 dengan dilengkapi tiga bilik tidur, ruang tamu selesa, dapur yang luas dan dua bilik mandi. Sebagai sebuah rumah patut syariah, ia menjadi satu showcase kepada warga universiti, rakan industri dan masyarakat awam untuk melihat secara dekat dan menggunapakai konsep rumah ini untuk pelbagai tujuan seperti projek rumah wakaf, surau atau sekolah agama.

Kerana teknologi pembinaannya berasaskan sistem modular, struktur binaan dan komponen teknikalnya mudah dialih, dibuka dan dipasang semula di mana-mana lokasi, mesra alam serta kos pembinaan yang rendah.

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204