NILAI – Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) malam ini menyaksikan pelancaran gilang-gemilang pementasan *Mock Trial USIM edisi ke-13, yang bertemakan “ASMARALOKA”.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Profesor Dato’ Dr. Nik Salida Suhaila Nik Salleh, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa).

Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) atas penganjuran berterusan program tahunan ini yang diusahakan oleh pelajar Tahun 4 Sarjana Muda Undang-Undang & Syariah. Mock Trial, katanya, bukan sekadar satu pementasan, malah platform pembelajaran kreatif yang mampu meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap sistem kehakiman negara.

“Pendekatan santai dan kreatif seperti ini mampu mencapai sasarannya dalam mewujudkan masyarakat yang celik undang-undang — asas kepada masyarakat yang beradab dan adil,” ujar beliau.

Beliau turut menekankan nilai-nilai penting dalam profesion perundangan seperti keadilan, integriti, amanah dan tanggungjawab yang perlu sentiasa dihayati, selaras dengan tuntutan al-Quran dalam Surah An-Nisa’, ayat 58.

Dalam masa yang sama, Profesor Dato’ Dr. Nik Salida juga menzahirkan rasa bangga atas penglibatan aktif mahasiswa USIM dalam program berimpak tinggi yang memperkayakan pengalaman akademik serta membentuk sahsiah holistik sejajar dengan Model Graduan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli.

Belaiu berharap agar Mock Trial terus menjadi medan untuk memperkukuh literasi undang-undang dalam kalangan mahasiswa serta melonjakkan nama USIM dan Fakulti Syariah dan Undang-Undang ke persada antarabangsa.

Majlis turut dihadiri oleh Professor Madya Dr. Mushaddad Hasbullah (TNC HEP & Alumni), Professor Madya Dr. Nisar Mohammad Ahmad (Pemangku Dekan FSU), Dr. Norfadhilah Che Amani (Ketua Penasihat) dan Cik Maslaily Athirah Md Razali selaku Pengarah Program Mock Trial 13.0.

 

Oleh: Nur Maisarah Mohd Zaimee