NILAI, 30 SEPT 2016 – Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang diadakan pada semalam, 29 September 2016 (Khamis) berlangsung dengan lancar di lapan buah pusat pengundian yang dibuka seawal jam 9.00 pagi dan ditutup jam 5.00 petang. Lokasi pusat pengundian ini meliputi Kampus Induk di Nilai, Negeri Sembilan; Kampus Satelit di Pandan Indah; Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Bharu; dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh Pahang.

Keputusan rasmi Pemilihan MPP USIM 2016 diumumkan pada hari yang sama jam 6.30 petang oleh Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad di hadapan kira-kira 300 mahasiswa bertempat di Dewan Kolej PERMATA Insan.

Pada pemilihan kali ini, seramai 35 calon bertanding iaitu 13 calon bertanding di Kerusi Umum dan 22 calon di Kerusi Fakulti untuk mengisi sembilan Kerusi Umum dan 18 Kerusi Fakulti yang diperuntukkan Universiti.

Seramai 10 orang calon diumumkan menang tanpa bertanding untuk mengisi Kerusi Fakulti manakala Mohd Aqil Irwan Abdul Mutalib, 21 dari Fakulti Sains dan Teknologi yang bertanding di Kerusi Umum berjaya meraih undi tertinggi iaitu sebanyak 7,326 undian.

Merupakan pelajar tahun tiga jurusan Sains Komputer (Keselamatan dan Jaminan Maklumat), beliau menggunakan slogan “Memimpin Generasi Al Qawiyul Amin” sebagai tema kempennya. Membentangkan tiga manifesto utama iaitu Memperkasa mahasiswa Islam yang berkarisma; Memberdayakan profesionalisme mahasiwa; dan Memperkukuhkan platform suara kebajikan, ia ternyata berjaya menarik sokongan kuat warga kampus kepadanya.

“Restu ibu-bapa, sokongan daripada rakan-rakan dan dorongan kuat dari Pentadbiran Fakulti menjadi kekuatan saya untuk ke hadapan sebagai calon dalam pemilihan MPP ini. Pengalaman menerajui Sekretariat Fakulti Sains dan Teknologi sebelum ini akan saya manfaatkan sebaik mungkin sebagai pemimpin siswa kampus pula”

“Menerima undian tertinggi ini merupakan satu kayu ukur kepercayaan yang sangat besar oleh warga kampus untuk saya menunaikan tanggungjawab dengan sebaiknya sebagai MPP USIM selepas ini” ujarnya.

USIM mencatat peratusan mengundi yang tertinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya iaitu sebanyak 86.63 peratus turun mengundi iaitu seramai 8,482 turun mengundi daripada 9,790 pelajar yang layak. Peratusan ini melepasi sasaran yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Induk Pemilihan iaitu 80 peratus kerana pada 2015, hanya 58.15 peratus mengundi dicatatkan. Sesi pengundian pemilihan MPP USIM pada semalam dilaksanakan secara atas talian dengan menggunakan sistem e-UNDI.

Disediakan oleh:

Zaini Othman

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204