PUTRAJAYA – Percubaan kali kedua Mohd Ikhwan Rosseli, Pelajar Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di pentas Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2013 ternyata membawa tuah kepada beliau apabila dinobatkan sebagai Johan PABM Kategori Nusantara.

Pada malam kemuncak Pertandingan Akhir PABM 2013 yang diadakan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), penyampaian pidato bertenaga oleh Mohd Ikhwan telah menambat hati para juri profesional dan memukau khalayak dewan sekaligus menewaskan dua pemidato lain yang mewakili negara masing-masing iaitu Indonesia dan Brunei Darussalam.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia mewakil YAB Perdana Menteri yang menyaksikan Mohd Ikhwan selaku Johan PABM Kategori Nusantara menerima Piala Perdana Menteri, wang tunai RM 21,700, piala iringan, sijil penghargaan dan buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kejayaan manis ini turut dikongsi oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Asma Ismail, Naib Canselor USIM, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM dan YBhg. Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang turut hadir bersama-sama para pelajar USIM untuk memberi sokongan moral kepada beliau.

Naib Canselor dalam ulasannya menyatakan “Kejayaan Saudara Ikhwan adalah satu kebanggaan kepada USIM keseluruhannya dan ini membuktikan para pelajar kita mampu memberi sumbangan yang hebat bukan sahaja kepada Universiti, malah kepada Negara. Ternyata kita mempunyai pelajar-pelajar yang berbakat besar dan ini seharusnya menjadi motivasi dan rangsangan kepada pelajar lain khususnya para pelapis untuk bersungguh-sungguh dan berjaya dalam bidang yang mereka sertai”

Menurut Mohd Ikhwan yang mula dikesan bakatnya oleh Pengurusan Kelab Debat USIM ketika masih bergelar pelajar Tamhidi (Matrikulasi) melalui satu pertandingan pidato anjuran Kolej Kediaman pada tahun 2007, menyifatkan ini adalah kejayaan paling gemilang beliau sepanjang menceburi arena pidato IPT.

“Alhamdulillah, syukur pada Allah SWT dan terima kasih kepada kedua ibu-bapa saya yang sentiasa memberi sokongan penuh dalam bidang yang saya minati ini. Tidak dilupakan rakan-rakan saya di dalam Kelab Debat, Jurulatih debat Bahasa Melayu USIM dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar yang banyak membantu. InsyaAllah, wang tunai ini akan saya gunakan untuk menunaikan umrah bersama keluarga dan untuk simpanan masa hadapan” katanya.

Sementara itu, bagi Kategori Antarabangsa pula telah dimenangai oleh Derrick Fernando Jaramillo atau nama jolokan beliau “Mat Derih” dari Panama yang menyampaikan pidato bertajuk ‘Malaysia Di Hatiku’.

Disediakan oleh :

Mohd Zaini Othman
Penolong Pendaftar
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)