NILAI, 14 Julai 2014- Ahli Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama 1Malaysia For Youth (1M4U) meneruskan tradisi memasak bubur lambuk secara gotong-royong untuk diedarkan kepada orang ramai pada setiap kali tiba bulan ramadhan.

Penganjuran kali kedua ini sejak tahun 2013 telah disertai oleh 15 orang ahli MPP dengan dibantu oleh beberapa kakitangan USIM di Taman Desa Melati. Seawal jam 12 tengahari para peserta telah memulakan tugas masing-masing dari proses penyediaan sehinggalah membungkusnya.

Ironinya, program ini bukan sahaja menyaksikan keberadaan mahasiswa kepada masyarakat setempat bahkan ia juga memupuk sifat bersedekah. Hal ini kerana Allah swt mengangkat darjat orang yang bersedekah lebih-lebih lagi dalam bulan ramadhan.

Menurut saudara Muhammad Azizi Alias, Naib Yang Dipertua MPP penganjurannya bukan sahaja mendekatkan pelajar kepada masyarakat malahan memberi peluang menambah amalan pahala sempena bulan yang mulia ini. “Cuti semester dimanfaatkan untuk melakukan ibadah disamping memberi pengalaman yang bermakna buat peserta”, jelas beliau.

Tepat jam 5.30 petang, proses pengedaran bubur lambuk ini telah dimulakan dengan mendapat sambutan yang meriah oleh para pengunjung bazar Ramadhan sekitar Nilai. Dianggarkan sebanyak 300 bekas bubur lambuk telah berjaya diedarkan dalam hanya tempoh 15 minit. Edaran bubur lambuk telah diedarkan sebanyak empat kali dan edaran ini akan diteruskan pada hari yang berikutnya.

“Sesungguhnya memberi makan orang yang berbuka besar ganjarannya seperti hadith Rasulullah saw. “Barangsiapa memberi makan untuk berbuka kepada orang yang berpuasa maka baginya pahala yang sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun” (Hadith riwayat Tirmidzi).”

Disediakan oleh:

Majlis Perwakilan Pelajar USIM

Dikemaskini oleh:

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)