UTHM Johor 27 Februari 2011– Festival Keroncong Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia  (MAKUM) peringkat IPTA telah mencatat sejarah buat Mohd Nurhakimi Md Yaman dari Urusetia Kesenian Pelajar Unit Kebudayaan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia kerana telah menempa kecemerlangan  dan mengharumkan nama USIM apabila berjaya memenangi tempat pertama kategori solo dalam festival tersebut. Lebih manis lagi Mohd Nurhakimi turut memenangi anugerah vokal terbaik menerusi lagu dendangan keroncongnya iaitu Keroncong Dewi Murni dan Langgam Selendang Putera.

Festival yang diadakan setiap tahun dalam kalendar MAKUM ini bertujuan memberi peluang kepada pelajar IPTA supaya mencintai dan menghayati irama tradisi dan menyemai semangat Kebudayaan Kebangsaan. Terbahagi kepada dua kategori solo dan muzik berkumpulan,  festival ini telah berjaya menarik minat pelajar bukan melayu menyertai kategori berkumpulan seperti yang telah dihasilkan oleh UTHM apabila mereka berjaya memenangi tempat pertama kategori tersebut.

Menurut bual bicara bersama Encik Ismail Ahmed, Pegawai Kebudayaan USIM, Urusetia Kesenian Pelajar  telah belajar untuk mencapai kecemerlangan melalui pengalaman lalu dengan memperbaiki aspek kualiti persembahan dan mendapatkan tenaga pengajar yang berkebolehan  seperti Encik Azizul Hakim Md Anuwar dari ASWARA untuk membimbing Mohd Nurhakimi. Beliau turut bersyukur kerana kejayaan Mohd Nurhakimi yang juga ahli kumpulan Nasyid Interaksee telah berjaya membuktikan kesungguhan dan tekad yang kuat akan memberikan hasil yang terbaik apatah lagi terpaksa bersaing hebat dengan pelajar IPTA lain yang mempunyai Fakulti Seni Persembahan khususnya dalam bidang vokal.

Mohd Nurhakimi membawa pulang Hadiah Wang Tunai dan Piala Pusingan dan Iringan. Beliau turut menzahirkan  kesyukuran kepada Allah S.W.T dan ucapan terimakasih kepada pengurusan tertinggi universiti khususnya Bahagian Hal Ehwal Pelajar atas sokongan yang jitu dan padu telah berjaya memotivasikan Urusetia Kesenian Pelajar USIM mencapai kecemerlangan di pelbagai peringkat samada di dalam dan di luar universiti. Semoga kejayaan membanggakan ini akan dapat diteruskan lagi dalam pertandingan seterusnya nanti. InsyaAllah.