SHAH ALAM, 28 September 2022 – Panglima Angkatan Tentera Malaysia (PAT), Yang Berbahagia Jeneral Tan sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang telah berbesar hati merasmikan Kursus Kepimpinan Berpandukan Qalbu kepada para peserta program Majlis Nadwah Iilmiah (NAIM) bagi tahun 2022 yang berlangsung selama 3 hari di Glenmarie Hotel & Golf Resort Shah Alam.
Yang Berbahagia Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi berkata, “Kepimpinan Berpandukan Qalbu” (hati) menjadi tema pilihan dalam kursus kepimpinan kali ini kerana kita semua tahu bahawa hati yang bersih sahaja mampu untuk mendorong kepada pelaksanaan kerja yang berintegriti dan jujur.
“Sebagai pemimpin, kita harus berusaha memastikan hati ini kekal terpelihara dengan kebaikan sepanjang masa agar dapat menghindarkan kita dari terjerumus melakukan perkara-perkara yang merugikan diri dan organisasi,” katanya lagi.
Saya juga berharap agar kesemua peserta yang telah dipilih untuk menghadiri kursus ini dapat mengambil manfaat dari kesemua modul yang dibentangkan sekaligus mempraktikkannya kepada diri dan organisasi kelak, tambahnya lagi.
Dalam masa yang sama, Yang Berbahagia Mejar Jeneral Hj Mohd Rashidi bin Bujai, Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera dalam ucapan aluannya turut berharap agar para peserta dapat memahami perspektif kepimpinan Qalb bagi menghadapi dan menangani cabaran global serta mampu memberikan cadangan penyelesaian terhadap masalah semasa.
Selain itu, semasa sesi perkongsian bersama Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang juga Prof. Kehormat Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM iaitu Yang Berbahagia Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak turut berkongsi bagaimana menjadi pemimpin unggul mengikut perspektif Imam Al-Ghazali dengan berjihad melawan musuh yang tidak nampak seperti penyakit ego, sombong, pentingkan diri sendiri, marah, menipu dan sebagainya. Semua fakta ini telah dibuktikan secara saintifik oleh para penyelidik barat contohnya di Universiti Stanford.
Kursus yang ditaja oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) ini meupakan sebuah projek perundingan di antara Pusat Penyelidikan Mizan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM dan KAGAT.
Program yang diurusetiakan oleh Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) ini disertai oleh pegawai tertinggi dari pelbagai agensi dan jabatan di Malaysia termasuk Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Turut hadir Prof Dr Mohd Radhi Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USIM.
**sumber: FKP
Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan