GUA MUSANG – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) telah menyampaikan bantuan pasca banjir di Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi 1,Gua Musang,Kelantan (SK Limau Kasturi 1). SK Limau Kasturi 1 yang tersenarai antara 165 sekolah kritikal yang terjejas teruk akibat banjir besar yang melanda negeri Kelantan bulan lepas dan mempunyai seramai 278 org pelajar sekolah yang mana semua keluarga mereka telah terlibat dengan musibah banjir tersebut.

Bantuan bernilai RM 20,000.00 telah disampaikan oleh Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Mohammed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) USIM selepas perhimpunan mingguan sekolah kepada Guru Besar SK Limau Kasturi 1,Tuan Haji Che Azmi Mohd Nor.

Dalam pada itu, pihak sekolah turut mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada pihak USIM kerana sudi memberi bantuan dan menjadikan Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi sebagai sekolah angkat.

USIM telah dipilih untuk menjadi IPTA angkat kepada 2 buah sekolah di sekitar Gua Musang iaitu Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi 1 dan Sekolah Kebangsaan Gua Musang. Bantuan yang disampaikan berupa beg sekolah,pakaian,buku tulis,pensil dan alatan sekolah yang lain.

Pihak USIM turut memberi sumbangan berupa mesin pencetak dengan 3 fungsi (cetak,fotostat dan imbas) untuk kegunaan pejabat sekolah serta mesin pam air dan gen set untuk memudahkan urusan sekolah kerana bekalan elektrik dan air masih lagi tiada di kawasan sekolah tersebut.

Pihak USIM juga dalam perancangan untuk mengadakan program Psikososial pasca banjir kepada pelajar sekolah yang keluarga mereka terlibat dengan bencana banjir dan tersenarai sebagai anak murid di sekolah angkat ini.

Disediakan oleh :

Zaini Othman

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204