BANDAR SERI BEGAWAN – Mempamerkan persembahan yang konsisten sejak pusingan saringan dan penuh bertenaga ketika di pentas akhir Pertandingan Debat Pendidikan Islam Serantau (PENDEPIS) membawa Pasukan Debat USIM yang diwakili oleh Mohd Ikhwan Rosseli dan Hamizan Hamzah muncul Johan menewaskan Pasukan Debat Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) A yang membariskan Nur Zaidah Harun dan Nurulzimah Yahya.

Pertandingan Akhir PENDEPIS yang berlangsung di Dewan Utama, Pusat Da’wah Islamiah (PDI) ini dianjurkan sempena Majlis Konvokesyen Kedua KUPU SB yang dimeriahkan dengan kehadiran tetamu kehormat iaitu Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pangiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pangiran Haji Bahar yang bebesar hati menyampaikan hadiah berupa piala pusingan, piala iringan, wang tunai BND1,000 dan sijil penyertaan kepada Johan manakala Naib Johan menerima piala iringan, wang tunai BND800 dan sijil penyertaan.

Penganjuran kali pertama yang disifatkan berjaya ini menghimpunkan dan mempertemukan pendebat-pendebat dari Institusi Pengajian Tinggi Tempatan dan Institusi Pengajian Tinggi Luar Negara untuk membahaskan pelbagai usul debat yang bertemakan “Meningkatkan Kecemerlangan Pendidikan Islam”. Bagi pertandingan akhir, usul yang diperdebatkan adalah “Gejala Sosial Dikalangan Remaja Islam Semakin Berleluasa”.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja PENDEPIS, Yang Mulia Haji Roslan bin Haji Untong, Dekan Pelajar KUPU SB dalam ucapan alu-aluannya sebelum pertandingan akhir bermula menyatakan “PENDEPIS adalah salah satu landasan yang diwujudkan untuk meninjau dan mengenal pasti sejauh mana kemampuan para pelajar kini dalam memperkatakan dan membincangkan secara ilmiah isu-isu berkaitan Pendidikan Islam dengan mengemukakan hujah-hujah yang relevan serta disokong oleh petikan ayat Al-Quran dan Hadis”.

“Alhamdulillah, persediaan yang baik sebelum bertandang ke Brunei, bantuan rakan-rakan pendebat serta sokongan berterusan yang diberikan oleh Bahagian Hal Ehwal pelajar Pengurusan Universiti menjadi dorongan untuk kami melakukan yang terbaik di sini” ulas para pendebat selepas berakhirnya majlis.

PENDEPIS yang yang menggunakan format debat presiden menjadikan suasana perdebatan lebih menarik dan menghiburkan. Antara universiti tempatan dan serantau yang menyertai PENDEPIS kali ini ialah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan KUPU SB.

Oleh :
Mohd Zaini Othman
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa