NILAI, 5 September 2019 – Rata-rata pelajar baharu USIM berhasrat untuk berkhidmat kepada masyarakat selepas habis pengajian nanti. Semangat dan cita-cita yang tinggi jelas di wajah mereka yang tidak sabar untuk memulakan sesi perkuliahan pada minggu hadapan. Sesi orientasi mereka akan berakhir pada Ahad ini.

Antara pelajar yang ditemui berkongsi perasaan gembira dan syukur kerana mendapat peluang sambung pengajian di USIM. Bagi Muhamad Faris Mohd Norizan yang mengikuti program Sarjana Muda Syariah Industri Halal dan Mohamad Nabil Firdaus Abdul Taib pula mengikuti program Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang. Masing-masing dari Sekolah Izzuddin Shah Perak berhasrat untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang demi membalas jasa baik ibu ayah dan keluarga.

Bagi Muhamad Badrul Amin Bin Mohd Tarmizi mengambil jurusan Komputer Sains, Muhammad Ilyas Ariffin Bin Abu Bakar jurusan Perakaunan, Muhammad Hafiy Bin Zolfattah jurusan Perbankan Dan Kewangan Islam dan Muhammad Al Hakim Bin Mohd Zulkifli jurusan Perbankan Dan Kewangan Islam akan belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai cita-cita dan dapat berkhidmat dengan cemerlang kepada masyarakat kelak.

“Saya berharap saya dapat lulus dengan cemerlang dalam bidang yang saya ceburi, dapat berkhidmat kepada ummah dan menjadi seorang doktor yang berdisplin dan berintegriti. Dorongan dari ibubapa untuk saya meneruskan pengajian di USIM tidak akan di sia-siakan, saya akan berusaha sungguh-sungguh demi menggembirakan ibu dan ayah“, Siti Farah Amirah binti Roslan dari Rembau menyambung pengajian dalam jurusan Perubatan dan Sains Kesihatan.

“Saya pilih USIM kerana USIM adalah antara universiti yang terbaik di Malaysia dan saya berharap agar dapat memanfaatkan 100% peluang untuk meneruskan pengajian dalam bidang perubatan dan dapat menjadi seorang pegawai perubatan yang dapat berbakti untuk seluruh penduduk muka bumi ini khususnya umat islam“, tambah Ahmad Lutfilhadi B Rahimi dari Kelantan yang bercita-cita untuk menjadi Pakar Orthopaedic. Manakala sahabat baiknya Muhammad Syakirin Bin Ahmad Sayutzi dari Shah Alam juga mengambil kos yang sama turut bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang Doktor Pakar ENT. Di USIM saya dapat  mendalami al-quran dengan menerapkan ilmu Naqli dan Aqli dalam kehidupan seharian selain ilmu perubatan yang dipelajari. Saya berharap saya bakal menjadi seorang doktor pakar yang dapat berkongsi ilmu moden dan ilmu agama kepada pesakit dan staf saya kelak.

Seramai 2471 termasuk 8 pelajar antarabangsa berjaya terpilih untuk menempatkan diri mereka menyambung pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang bermula semalam. Daripada jumlah tersebut, seramai 739 adalah pelajar lelaki dan 1732 adalah pelajar perempuan.

Pada Sesi Akademik 2019/2020 ini, USIM telah menerima 18,289 jumlah permohonan untuk mengikuti pengajian di 9 fakulti, iaitu 32 program pengajian peringkat Sarjana Muda.  Walaubagaimanapun USIM hanya berupaya menawarkan tempat kepada sejumlah 2599 pemohon sahaja.

Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah mencatat jumlah tertinggi kemasukan iaitu sebanyak 462 pelajar diikuti Fakulti Ekonomi dan Muamalat 416, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan 353, Fakulti Pengajian Bahasa Utama 347, Fakulti Syariah dan Undang-Undang 345, Fakulti Sains dan Teknologi 340, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan 89, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina 75, dan Fakulti Pergigian seramai 44 pelajar.

Manakala mengikut pecahan negeri pula, majoriti pelajar adalah berasal dari negeri Selangor dengan jumlah 553, diikuti Kelantan 411, Kedah 255, Perak 201, Johor 199, Terengganu 194, Pahang 155, Negeri Sembilan 127, Melaka 99, Pulau Pinang 70, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 59, Sabah 47, Sarawak 44, Perlis 37, Wilayah Persekutuan Putrajaya 13, dan Wilayah Persekutuan Labuan 2.

 

Dikemaskini oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan