KUALA LUMPUR, 12 November 2018 – Pembentangan kertas kerja penyelidikan oleh dua orang pelajar Kolej PERMATA Insan, USIM dalam Seminar Penyelidikan Belia Kebangsaan (YOURS) 2018 telah membuktikan keunikan serta kecemerlangan budaya PERMATA Insan dalam pemupukan elemen penyelidikan dan inovasi di peringkat pelajar. Kertas kajian pelajar yang bertajuk ‘Correlation Study of Intelligence with Mental Health Issues among Gifted and Talented Students’ telah berjaya dipilih antara 45 kajian yang dibentangkan pada 12 November 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

YOURS 2018 telah dirasmikan oleh YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan Malaysia. Artikel yang telah dibentangkan akan diterbitkan dalam Malaysian Journal of Youth Studies Edisi Khas Agenda Sosial 2019.

YOURS 2018 merupakan persidangan kali ketiga anjuran Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dan Insititut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES). Bertepatan dengan tema ‘Mendepani Cabaran Agenda Sosial ke arah Kesejahteraan Belia’, enam sub tema penyelidikan telah ditampilkan seperti kesihatan mental, ketagihan skrin, gaya hidup sedentari, gejala sosial tradisional, kurang belas ihsan dan lain-lain isu pembangunan belia. Antara objektif seminar kebangsaan ini adalah untuk mengetengahkan cetusan ilham baharu daripada ramai pihak dalam bidang pembangunan belia masa hadapan. Skop program ini juga bukan sahaja terhad kepada pembentangan proposal kajian dan memperluas pemikiran peserta, malah turut menyediakan ruang untuk para peserta dari seluruh negara berkongsi idea dalam perbincangan dan penerokaan ilmu baharu.

Ahmad Faiz Yazid, 16 dan Abdul Razzak Khan Rustum Ali Khan, 16 telah melakar nama sebagai pembentang termuda apabila disenarai pendek sebagai pembentang yang majoritinya terdiri daripada pensyarah, penyelidik dan kakitangan akademik. Kertas kajian yang ditulis adalah berkenaan hubungan kolerasi antara kecerdasan dan isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar pintar dan berbakat. Menurut Ahmad Faiz, kajian yang dilaksanakan adalah sebahagian daripada kurikulum PERMATA Insan yang memberdaya potensi pintar dan berbakat pelajar serta bertindak sebagai satu titik tolak dalam menunjukkan kemampuan anak muda untuk terlibat dalam bidang penyelidikan tanah air.

“Saya yakin dan percaya bahawa kerajaan Malaysia cukup komited dalam menaik taraf isu kesihatan mental dalam golongan belia. Oleh itu, kajian ini diharapkan sebagai satu wadah pencetus semangat untuk rakyat awam peka berkenaan isu kesihatan mental dan kecerdasan dalam kalangan belia yang diiktiraf sebagai pintar dan berbakat.”

 

 

Disediakan oleh:
Pusat PERMATA Insan

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032