USIM Nilai, 19 Mei 2011 – Pepatah berkata “Jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya”. Menghimpunkan barisan penceramah yang berpengalaman luas dan terlibat  secara langsung dalam penyiaran media massa hari ini, Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (BHEP USIM) telah berjaya menganjurkan Bengkel Penyiaran Media USIM 2011 yang bertempat di Dewan Kuliah Fakulti Kepimpinan USIM pada  18 hingga 19 Mei baru- baru ini.

Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) telah mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan program tersebut bagi memberi peluang kepada pelajar dan kakitangan BHEP mendapat pendedahan dalam dunia penyiaran khususnya segmen promosi berita-berita di dada akhbar perdana. Program ini bertujuan memperkasakan gaya penulisan berita dan rencana di samping pengetahuan dalam bidang multimedia serta langkah-langkah untuk mempromosi program dan aktiviti pelajar.

Kehadiran penceramah yang berwibawa seperti Ahmad Fedtri Yahya dari TV3, mendedahkan kepada peserta aspek-aspek penyiaran media elektronik terutamanya segmen yang popular sebagai rujukan serta memperbaiki ketajaman penulisan di media elektronik. Ketika ditemubual Ahmad Fedtri berkata, USIM telah mengambil langkah yang sangat signifikan dalam penekanan aspek penulisan berita dengan menyediakan platform yang terbaik bagi peserta bengkel kali ini. Beliau turut menambah kepekaan pengurusan universiti dan BHEP telah menjadikan Bengkel Penyiaran Media USIM  2011  lebih bermakna dan membawa manfaat kepada  35 peserta yang menyertai bengkel yang buat julung kalinya diadakan di USIM.

Menambah keterujaan peserta, segmen penulisan rencana dan berita telah dikendalikan oleh Encik Muhd Yusuf  Abu Bakar dari Berita Harian dan Encik Mohd Saiful Mohd Sahak Utusan Malaysia. Tips-tips terbaik penghasilan berita dan rencana telah meningkatkan semangat para peserta supaya menghasilkan penulisan berkualiti menjurus kepada berita aktiviti-aktiviti pelajar USIM dalam penerbitan di masa hadapan. Tidak ketinggalan aspek fotografi dan multimedia yang ditunjangi oleh jurugambar berpengalaman di peringkat antarabangsa iaitu Encik Mahfooz Nabi Rasul dari NIKON yang pernah menimba ilmu bersama National Geographic yang berpangkalan di New York, USA dan penceramah  dalaman  Encik Mohd Saiful Abdul Samad, Pegawai Teknologi Maklumat Kanan, Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa USIM.

Majlis perasmian Bengkel Penyiaran Media USIM telah disempurnakan oleh Encik Nasrul Hakim Ahmad, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM. Ketika diminta ulasan beliau menzahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada pengurusan USIM yang sentiasa menyokong program kecemerlangan pelajar. Beliau juga yakin bahawa program seperti ini berupaya meningkatkan kemahiran penulisan dan pengetahuan yang berguna kepada pelajar terutamanya dengan adanya Unit Kebudayaan yang dipertanggungjawabkan dalam soal menyebarluaskan promosi program di BHEP. Ujar beliau lagi, keurusetiaan program ini telah dijalankan oleh Unit Kebudayaan BHEP dengan kerjasama Urusetia Kesenian Pelajar USIM telah berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan terutamanya dengan kehadiran tenaga pengajar yang sangat berpengalaman.  Akhirnya beliau berharap semoga kejayaan Bengkel Penyiaran Media USIM 2011 akan memberi manfaat jangka panjang dan berterusan.