Rembau, 7 November 2010 – Dalam menerapkan rasa cinta terhadap budaya ilmu di kalangan komuniti orang Asli, 64 pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah bergotong-royong membina sebuah perpustakaan di Dewan Serbaguna Kg. Ulu Chembong, Rembau, Negeri Sembilan.
Pembinaan perpustakaan ini merupakan terjemahan rasa tanggungjawab pelajar USIM dalam memastikan anak-anak orang Asli dan penduduk kampung mendapat pendidikan yang sempurna dan secukupnya seperti masyarakat lain.
Seramai 64 pelajar program Pendidikan Islam Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyertai Program Eksplorasi Murabbi Bersama Masyarakat Pribumi di Kg. Ulu Chembong, Rembau, Negeri Sembilan. Program ini merupakan anjuran FPBU dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA).
Program selama 3 hari bermula 5 hingga 7 November 2010 bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar melihat dan meninjau keadaan sosial masyarakat orang Asli melalui perkongsian idea dan memperoleh pengalaman sebenar sebagai bakal guru. Selain itu ianya bertujuan mewujudkan hubungan silaturrahim yang baik serta memberikan galakan dan sokongan terutamanya dari segi pendidikan kepada komuniti orang Asli.
Antara pengisian dalam program ini adalah pembahagian keluarga angkat, program “Jom Masuk Hutan” program khidmat bakti masyarakat orang Asli, pemeriksaan kesihatan seperti pergigian, kempen Nyah Cacing dan khidmat pendaftaran pemilih.
Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Y.B Dato’ Haji Hasan bin Malek.
Menurut beliau, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sentiasa memberi penekanan yang serius kepada taraf pendidikan di kalangan masyarakat orang Asli.
“Justeru itu, pada tahun ini seramai 5 orang pelajar orang Asli telah dihantar ke luar Negara di bawah tajaan MARA. Manakala seramai 210 orang pelajar orang Asli telah diterima masuk ke IPTA dan ini merupakan langkah-langkah mengurangkan kadar keciciran di kalangan orang Asli”, kata beliau lagi.
Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028
Gambar oleh : Mohd Yusrizal Mohd Yunus (06-7988058)