REMBAU, 27 April – Peluang untuk bersama dengan penghuni Rumah Pertubuhan Aak-Anak Yatim dan Miskin Darul Khusus (PEYAKIN) N. Sembilan oleh para pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam Program Sentuhan Kasih yang diadakan baru-baru ini memberi pengalaman baharu buat mereka. Program selama sehari ini dijalankan oleh sekumpulan 13 orang pelajar USIM yang sedang mengikuti Kursus Pengucapan Awam Debat Bahasa Melayu di bawah Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI).

Program khidmat komuniti yang digerakkan oleh para pelajar ini memilih Rumah PEYAKIN N.Sembilan yang ditubuhkan sejak tahun 2007 adalah atas dasar keprihatinan mereka untuk merasai, menyelami dan mendekati 33 orang penghuni di rumah ini yang kurang bernasib baik kerana dikalangan mereka terdiri daripada  anak-anak yatim dan miskin dari umur 6 hingga 17 tahun.

Selain itu juga, melalui Program Sentuhan Kasih ini, pelajar dapat meningkatkan kemahiran insaniah mereka, keyakinan diri serta mewujudkan perasaan bertanggungjawab dan berbakti kepada masyarakat sekeliling dan mereka yang memerlukan. Kehadiran pelajar USIM ke rumah ini amat dialu-alukan dan disambut oleh Yang Dipertua PEYAKIN N. Sembilan, Encik Omar Hj Abu Bakar yang merupakan pengasas kepada penubuhan rumah ini serta Setiausaha Kehormat PEYAKIN N.Sembilan, Puan Syafiza Ramli.

Bagi Pengarah Program, Saudara Ahmad Azimudin Baharuddin, Pelajar Tahun 1 Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk para penghuni semasa di sana antaranya ceramah motivasi, sukaneka berkumpulan, pertandingan mewarna dan kuiz.  Selain itu, turut dijalankan program gotong-royong bagi keceriaan rumah ini dan sembang santai bersama para penghuni dan kakitangan rumah berkenaan.

“Kesungguhan dan perasaan kasih-sayang yang ditunjukkan oleh 10 orang kakitangan rumah ini kepada anak-anak ini amat menyentuh hati kami sekalian. Secara sukarela, mereka memastikan kebajikan anak-anak ini dari segi akademik, pembangunan rohani dan jasmani, keperluan harian, serta pembangunan bakat sentiasa diberi keutamaan. Ini satu sikap yang amat terpuji dan dituntut oleh agama”. katanya lagi.

Menurut Penasihat Program Sentuhan Kasih, Encik Mohd Zaini Othman yang merupakan Penolong Pendaftar di Pusat Komunikasi Strategik USIM, dengan adanya program sebegini ia memberi dimensi baharu kepada para mahasiswa dari segi pemikiran, tindakan, jati-diri dan kepimpinan yang tidak dapat dipelajari melalui teori, tetapi amali di luar bilik kuliah.

Pada penghujung program, para penghuni ini menerima cenderamata USIM serta penyerahan sumbangan wang tunai sebanyak RM 300.00 kepada Rumah PEYAKIN N. Sembilan hasil inisiatif para pelajar ini membuat kutipan amal dikalangan rakan-rakan mereka di Kampus.

Disediakan oleh :

Urusetia Program Sentuhan Kasih