PULAU PINANG, 17 OGOS 2015 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sekali lagi melakar kejayaan manis di Novel Research & Innovation Competition 2015 (NRIC) apabila saudari Hanisah binti Hassan dinobatkan sebagai pemenang ‘NRIC 2015 Best Award’ dengan membawa pulang piala, sijil dan wang tunai RM5000. Hanisah turut  memenangi anugerah Gold Medal dan Best Presenter.

Hanisah, 24 , pelajar tahun akhir Fakulti Perubatan dan Sains kesihatan USIM mempertandingkan produk yang diberi nama HURMA iaitu pakaian hospital untuk pesakit bagi kategori Medical & Health Science.

Hanisah berkata, sebagai pelajar perubatan yang banyak menjalankan kerja klinikal di hospital, mereka menerima banyak aduan dan rungutan berkenaan pakaian hospital yang singkat serta tidak menutup aurat. Terutama sekali apabila doktor yang akan menjalankan pemeriksaan terpaksa membuka bahagian anggota yang tidak dirawat bagi melakukan rawatan berikutan pakaian yang tidak mesra pengguna.

“Oleh kerana itu, timbul idea untuk mencipta pakaian yang mesra pengguna dimana selain bahagian lengan yang panjang dan dilengkapi penutup kepala, setiap bahagian anggota badan juga  dilengkapi dengan butang seperti dibahagian tangan, perut, dada, belakang badan, kaki dan alat sulit. Ini memudahkan doktor untuk akses bahagian yang ingin dirawat sahaja”, jelas Hanisah.

Sebelum ini produk HURMA turut tersenarai di Finalis Anugerah Inovasi Negara  iaitu antara 10 produk terbaik dari 280 penyertaan bagi kategori Akar Umbi yang berlangsung di National Innovation Conference and Exhibition (NICE) 2015 di Kuala Lumpur Convention Center (KLCC).

Bertemakan ‘Modernising Innovation Beyond Novelty Research’, USIM mempertaruhkan 10 produk untuk penyertaan di NRIC dan dua kumpulan untuk penyertaan Community Research & Innovation Competition (CORIC). Daripada 10 produk yang dipertandingkan sebanyak 3 produk rangkul pingat emas iaitu HURMA, IMTL-X, Duta Jauhar, 4 pingat perak melalui produk Chito Bauf IMTL, Q-Finder, Aqualicious dan Sukun dan dua pingat gangsa melalui produk Braille dan Jackie Joy.

Turut membanggakan USIM apabila tiga kali berturut-turut memenangi Best Presenter CORIC sejak tahun 2013. Pada tahun ini menjadi hak milik Nur Izzati Afiqah binti Mohd Helmi pelajar Teknologi Kimia dan Industri yang mempersembahkan idea Novel Marine Biowaste Membrane Technology A-Community-University (CommUVersity) Project iaitu bahan buangan ikan dijadikan bahan tambahan untuk pembuatan teknologi membran.

Pada tahun ini sebanyak 123 penyertaan NRIC dan 17 penyertaan CORIC. Majlis perasmian penutup telah dirasmikan oleh Naib Canselor USM Prof. Dato’ Dr. Omar Osman bertempat di Dewan Mutiara Tabung Haji Hotel Penang, Bayan Lepas Pulau Pinang.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204