NILAI, 19 November 2017 – Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang diurusetia oleh mantan barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2016/2017 meneruskan tradisi sebagai penganjur utama Pesta Konvokesyen USIM bersempena Majlis Konvokesyen USIM ke-15 berlangsung pada 21 sehingga 23 November 2017.
Majlis Perasmian Pesta Konvokesyen USIM 2017 disempurnakan oleh Pro-Canselor USIM, YAM Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz di Pentas Utama, Kompleks Sukan Tuanku Najihah pada masa yang sama turut melancarkan Recycle@USIM.
“Pelancaran Program Kitar Semula USIMBIOSIS 2.0 merupakan kesinambungan USIMBIOSIS 1.0 yang dijalankan sejak tahun 2015 membabitkan 100 pelajar universiti yang menubuhkan persatuan sukarelawan. Ia bermatlamat menggerakkan budaya kitar semula 3R bersama komuniti berhampiran USIM dalam usaha mengurangan penghasilan karbon dioksida yang boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat,” ucap Dato’ Musa Ahmad dalam ucapannya.
Penganjuran Pesta Konvokesyen USIM 2017 dengan tema “Menginsankan Teknologi Ke Arah Pembangunan Ummah” menyediakan pelbagai acara dan pengisian disediakan meliputi aspek riadah, intelektual, forum keagamaan, pembangunan diri dan keusahawanan merangkumi 20 gerai dibuka sepanjang 6 hari Pesta Konvokesyen USIM berjalan.
Dijangka lebih 35,000 pengunjung bakal menghadiri Pesta Konvokesyen sepanjang 6 hari penganjurannya.
Melalui Recycle@USIM, USIM merupakan antara Universiti Awam yang telah terpilih untuk bersama-sama pihak Coca Cola Malaysia dan Universiti Putra Malaysia untuk menjayakan aktiviti kelestarian alam sekitar di kawasan sekitar kampus di bawah inisiatif Recycle@University.