NILAI, 13 Mei 2017 – Pementasan Teater Islamik Perang Uhud membawa intipati perjuangan Rasulullah dalam menegakkan Islam dan melalui pementasan teater yang dicakna dengan penuh penghayatan Islam berupaya mengangkat seni dalam konteks yang berkesan seperti yang ditegaskan didalam firman Allah SWT didalam Al-Quran Surah Ali- Imraan mengenai Perang Uhud.
Pementasan teater ini dianjurkan secara bersama antara Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Kerajaan Negeri Sembilan dan Karyawan Negeri Sembilan.
Penganjurannya mengambil kira nilai sejarah peperangan tersebut yang memberi beberapa pengajaran yang sangat positif dalam konteks perjuangan muslim diseluruh dunia masa kini. Selain itu, teater ini adalah bersesuaian dengan keperluan masyarakat Malaysia termasuk pelajar universiti yang perlukan kesenian yang berteraskan Islam selain dapat memberi manfaat kepada sesama manusia.
“Saya kira pementasan teater ini merupakan ’showcase’ yang amat dinantikan-nantikan oleh warga USIM. Saya melihat gabungan kreatif antara USIM, Kerajaan Negeri Sembilan dan Karyawan Negeri Sembilan merupakan satu pakatan bistari, signifikan dan menjurus kepada kekuatan ummah. Diharapkan agar ia mampu mendidik dan memberi manfaat kepada masyarakat Malaysia di samping mengangkat syiar Islam ke tahap yang lebih cemerlang,” ujar YBhg Prof Dato’ Dr Musa Ahmad, Naib Canselor USIM.
Sementara itu, Siti Salbiah Zahari, Presiden Karyawan Negeri Sembilan bersyukur pementasan teater ini dapat dilaksanakan sebagaimana yang dirancangkan.
“Sebagai sebuah NGO yang masih berada di peringkat amatur, Karyawan Negeri Sembilan perlukan jalinan dan jaringan dengan pelbagai pihak untuk terus bergiat aktif. Usaha mementaskan Perang Uhud diharap dapat mengangkat industri teater agar lebih dihayati objektifnya dan berupaya menyampaikan mesej-mesej yang baik kepada masyarakat Malaysia,” ujarnya.
Bagi Profesor Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, teater ini menyingkap lembaran sejarah Islam dan perjuangan Rasulullah SAW menyusun strategi menentang musuh.
“Sejarah peperangan tersebut memberi pengajaran atau outcome yang sangat positif dalam konteks perjuangan muslim di seluruh dunia masa kini seperti ketaatan kepada pempimpin, iktibar tentang dalam perjuangan, permuafakatan dan sifat tawakal sebagai orang muslim,” ujarnya.
Persembahan Teater Islamik Perang Uhud ini adalah gabungan ahli Karyawan Negeri Sembilan, pelajar USIM Kelab Urus Setia Kesenian Pelajar dan beberapa pelakon tanah air antaranya Shaharuddin Thamby, Razali Hussain dan Sabrina Ali dengan penglibatan lebih 100 orang tenaga produksi yang berlangsung selama dua hari yang bermula pada 13 & 14 Mei 2017, bermula jam 8.00 malam dengan tiket berharga RM10 bagi pelajar dan RM20 bagi orang awam.
10% hasil daripada jualan tiket akan disumbangkan kepada komuniti HKL KIDS KANSER bagi meringankan beban pesakit kanak-kanak kanser di Malaysia dan 10% lagi kepada Pusat Tahfiz At-Tohiriah di Lukut Negeri Sembilan.
Pementasan pada hari pertama turut diserikan lagi dengan kehadiran menjunjung kasih DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud, Canselor USIM.
Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204