NILAI, 15 Mac – Kejohanan Debat Piala Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang memasuki edisi Ke-8 penganjurannya pada tahun ini menyaksikan Pusat Tamhidi berjaya mempertahankan Piala Pusingan Naib Canselor USIM untuk tahun kedua berturut-turut.

Kejohanan Debat Piala Naib Canselor anjuran Kelab Debat USIM dengan kerjasama Unit Kepimpinan Bahagian Hal Ehwal Pelajar berlangsung pada 12 hingga 15 Mac baru-baru ini. Pertandingan ini yang melibatkan para pendebat yang mewakili fakulti masing-masing di USIM menjadi antara program utama berbentuk pengucapan awam yang dinantikan setiap tahun.

Majlis kemuncak Kejohanan Debat Naib Canselor ini adalah Pertandingan Akhir Debat Bahasa Melayu yang mempertemukan pendebat dari Pusat Tamhidi selaku Kerajaan dan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) selaku Pembangkang memperdebatkan usul “Rancangan Gosip Hiburan di Televisyen, Dibiarkan Menjadi Parah” bertempat di Dewan Kuliah Pusat 3 ternyata memukau  kira-kira 500 penonton yang hadir.

Kepetahan hujah pendebat Fakulti Sains dan Teknologi yang pertama kali melangkah ke pentas akhir berjaya menyekat kehebatan para pendebat Pusat Tamhidi yang menjuarai kategori Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab selepas masing-masing berjaya menewaskan pendebat dari FKP dan FSU dalam pertandingan akhir yang berlangsung lebih awal sebelum itu.

Menurut Pengarah Program Kejohanan Debat Naib Canselor kali ini, Saudara Amir Najib Abd Hadi, penyertaan untuk edisi kali ini amat baik iaitu keseluruhannya 57 buah pasukan dengan  Bahasa Melayu sebanyak 21 pasukan dan 18 pasukan untuk Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.

“Bagi menarik minat para pelajar dalam bidang pengucapan awam, Pengurusan Universiti telah meningkatkan hadiah wang tunai untuk para pemenang kali ini. Johan, Naib Johan dan Pendebat Terbaik bagi setiap kategori masing-masing menerima wang tunai RM 1000, RM 800 dan RM 500 bersama sijil penghargaan.”

“Kejohanan ini merupakan salah satu platform terbaik untuk mengenal pasti pelapis-pelapis pendebat baharu untuk digilap potensi mereka seterusnya mewakili dan mengharumkan nama USIM dalam pertandingan debat yang lebih tinggi”, ujarnya lagi.

Pertandingan Akhir Debat Bahasa Melayu dan Majlis Penutup Kejohanan Debat Piala Naib Canselor USIM disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM. Turut bersama hadir adalah Profesor Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Encik Nasrul Hakim Ahmad, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM.

Disediakan oleh :

Zaini Othman

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204