NILAI, 21 November 2017 – DYMM Tuanku Canselor berkenan menyampaikan Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) kepada graduan yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum sempena Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kali ke-15. Penerima anugerah tersebut pada tahun ini disampaikan kepada Khaulah binti Mohamad Adi dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan dan Nur Akma Mohd Dali dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang.

Khaulah binti Mohamad Adi, 23 tahun merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam. Beliau yang berasal dari Kampung Tunjong, Perlis merupakan anak ke 6 daripada 8 orang adik-beradik kini sedang mengikuti kursus latihan di CIMB dan kursus Bahasa Turki di Yunus Emre Enstitusu, di Jln Raja Chulan Kuala Lumpur.

Banyak pengalaman yang ditimba di USIM telah membina jati dirinya yang sekarang. Beliau merupakan antara pelajar yang gemar terlibat aktif menjalani aktiviti jalinan pengantarabangsaan seperti di Perth, Australia dan Riau, Indonesia serta terlibat penganjuran program fakulti antaranya Festival Dakwah di USIM.

Baginya, pengalaman kepahitan yang ditempuh semasa pengajian di USIM mengajarnya untuk lebih menghargai manisnya sebuah pengalaman malah membina jati diri yang lebih untuk berhadapan dengan alam pekerjaan selepas bergraduasi.

Beliau yang berasal dari kampung menjadikan ayahnya sebagai inspirasi kerana malu apabila melihat semangat ayahnya yang mampu menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi walaupun telah lanjut usia.

“Cita-cita kita tinggi dan kita mampu untuk pergi lebih jauh dari apa yang kita sangkakan. Jadi, usahalah yg terbaik, Allah akan bukakan jalan dan permudahkan setiap langkahan yang terasa sukar. Minta pada Allah, dan Allah akan bagi. Yakin!,” itu kata motivasi dan pegangan hidupnya.

Nur Akma Mohd Dali, 24 tahun pula merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah yang berasal dari Kedah. Beliau merupakan anak ke 7 daripada 8 adik-beradik dan kini sedang melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jurusan Sarjana Undang-Undang sepenuh masa. Bapanya seorang pegawai polis manakala ibunya seorang suri rumah sepenuh masa.

Kejayaan yang dimilikinya sebagai pendebat kedua terbaik kesuluruhan bagi kategori bukan penutur asli Bahasa Arab serta Naib Johan bersama pasukan Debat Bahasa Arab mewakili USIM dan Malaysia di Pertandingan Debat Antarabangsa Bahasa Arab Universiti pada April lalu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Qatar menjadi memori indah yang mematangkan dirinya.

“Bayangkan saya yang tidak langsung tahu berdebat pada awalnya, pada akhirnya saya mampu bercakap di hadapan orang ramai bahkan sehingga ke pentas antarabangsa hasil didikan dan dorongan insan-insan yang tersayang,” ucapnya.

Jadi saya berpesan untuk adik-adik yang masih menuntut di bumi USIM ini, “Kutiplah sebanyak-banyak ilmu sama ada ilmu akademik atau kemahiran sosial supaya kalian tidak menjadi orang-orang yang rugi di kemudian hari.”

“Apa yang lebih penting adalah sentiasa mendahulukan ibu dan ayah kerana kunci redha Allah ada pada mereka. Yakinlah bahawa setiap rezeki dan ujian akan datang tepat pada waktunya. Allah tidak akan pernah mensia-siakan doa hambanya. Hidup ini cuma ada dua pilihan. Sama ada kita memilih untuk menyerah dan kalah.”

Baginya, setiap kenangan di USIM mempunyai nilai sentimental tersendiri yang tidak akan dapat saya perolehi di tempat lain. “Terlalu banyak kenangan manis di suasana damai dan penuh barakah ini,” ujarnya.

Mewakili Ahli Lembaga Pengarah, Pengurusan Tertinggi dan seluruh warga USIM, setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan diucapkan buat semua graduan yang menerima ijazah sepanjang Majlis Konvokesyen USIM yang berlangsung pada 21 November hingga 23 November 2017 bertempat di Dewan Tuanku Canselor USIM.