NILAI, 25 Mei 2016 – Inisiatif Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk menjana sumber kewangan secara wakaf kepada Universiti menampakkan hasil yang membanggakan apabila berjaya mengumpul RM 4.5 juta setakat ini. Pencapaian ini mendapat pujian dan dibentangkan sendiri oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

Perkara ini diumumkan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad semasa berucap di Majlis Perhimpunan Kakitangan bersama Naib Canselor di Dataran Canselori pada pagi tadi. Menurut Naib Canselor, melalui sumbangan dana wakaf dari Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) misalnya, Universiti telah telah melaksanakan projek Klinik Pakar Kesihatan USIM yang beroperasi sejak 2015 di Nilai Square, Bandar Baru Nilai dan diikuti projek Klinik Hemodialisis selepas ini.

“USIM antara universiti awam yang agak terkehadapan dalam pelaksanaan wakaf ini selari dengan statusnya selaku universiti awam pertama menerima status Mutawalli yang diberikan oleh MAINS pada 2013. Melaluinya, ia membolehkan Universiti untuk mengutip dan menguruskan dana wakaf secara sendiri”.

“Universiti menyedari bahawa kita perlu berkreatif untuk menjana kewangan baharu dan salah-satu yang telah dan sedang dipergiatkan adalah menerusi wakaf. Kita juga kini sedang melakukan perbincangan secara serius dengan sebuat syarikat yang bersetuju untuk  membina sebuah kompleks Kolej Kediaman bernilai RM 25 juta di dalam kampus melalui pembiayaan secara wakaf”.

“Pada tahun lalu, Pusat Pembangunan Pembiayaan Wakaf (PPPW) USIM telah melancarkan Kutipan Wakaf Tunai Kepada Kakitangan Universiti melalui potongan gaji. Sehingga pertengahan Mei 2016, jumlah wakaf tunai terkumpul adalah sebanyak RM 350,097.82 dan kutipan ini akan dimanfaatkan sebaiknya seperti membantu para pelajar miskin.”

“Menjelang kedatangan bulan Ramadhan ini, PPPW boleh menggandakan kempen dan promosi kutipan wakaf ini agar lebih ramai warga USIM yang tampil untuk membuat sumbangan secara potongan gaji di dalam tabung wakaf tunai”.

Pada masa kini, hanya empat daripada 20 buah universiti awam yang mengetengahkan instrumen wakaf sebagai sumber dana pendidikan dan pembangunan di universiti. Universiti awam tersebut adalah Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan USIM sendiri.

Menyentuh mengenai pemotongan peruntukan dari agensi pusat, beliau mengakui ia sememangnya memberi kesan seperti terdapat sesetengah Universiti tidak lagi menyambung lantikan ahli akademik bertaraf profesor dalam dan luar negara. Pada masa kini, Pengurusan Universiti tidak mengambil langkah sedemikian kerana masih mampu bertahan dengan kemampuan kewangan sedia ada walaupun terhad.

Disediakan oleh:

Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204